Ekonomi Madani: Mampu lonjak ekonomi, tambah baik KDNK
SHAH ALAM - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program dan aktiviti kementerian bagi menyokong aspirasi Ekonomi Madani.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman Ekonomi Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan satu tekad yang diyakini mampu untuk melonjakkan ekonomi, serta menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
“Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, adalah penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi di peringkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
“Selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengoptimumkan penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, Anwar melancarkan Ekonomi Madani dengan menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.
Ujar Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu, MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan.
Menurutnya, sektor agrikomoditi memainkan peranan penting untuk ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
“Dalam hal ini, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian.
“Hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian.
“Usaha-usaha pemuliharaan dan perhutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar,” ujarnya.
Dalam pada itu, ulas beliau, kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Justeru, kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit,” menurutnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara
Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033
Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat
Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan
Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama
Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM
Ekonomi Madani: GLC & GLIC akan pacu pelaburan domestik
Ekonomi Madani kerangka utama ekonomi - Fahmi
KKDW, MOT bentang perincian Ekonomi Madani minggu depan
Gaji bermakna, kongsi kekayaan bina masyarakat saksama - PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!