Projek baik pulih rumah anggota ATM dijangka siap akhir tahun ini
Menteri Pertahanan. Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada kerosakan yang kritikal pada infrastruktur dan rumah anggota ATM di seluruh negara.
"Kita akan naik taraf antaranya atap bocor, masalah bekalan air dan sebagainya yang kita kira kritikal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kem dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera bagi Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja dan Army Red Warrior di Mukim Sri Rusa di sini, pada Khamis.
Kita juga mohon Kementerian Kewangan untuk longgarkan syarat bagi memudahkan proses menjalankan projek ini. Ini supaya projek ini dapat siap menjelang akhir tahun ini, " katanya.
Mohamad berkata, projek itu akan diuruskan Rejimen Askar Jurutera Diraja di setiap negeri dan kerja-kerja itu akan dipantau oleh pasukan berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar.
Mengenai majlis pecah tanah bagi projek di atas tanah berkeluasan 24 hektar milik ATM itu, Mohamad berkata lokasi tersebut akan dibangunkan menjadi kem, rumah dan pusat latihan baharu kepada pasukan Kor Polis Tentera Diraja.
"Projek yang menelan kos sebanyak RM232.9 juta ini melibatkan pembangunan semula aset ATM iaitu Pusat Latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja iaitu PULAPOT, Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan yang berkaitan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.
Projek ini mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk siap yang melibatkan rumah keluarga lima tingkat dan satu tingkat untuk kem," katanya.
Beliau berkata pembangunan semula aset ATM itu merupakan salah satu komponen timbal balas daripada Pembinaan Perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) ATM yang telah diluluskan sebelum ini.
Mohamad berkata apabila projek tersebut siap pada 2025, ia bakal memberi keselesaan kepada anggota dan kepimpinan ATM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!