BN Terengganu belum ada calon 'poster boy', mahu fokus PRN
KUALA TERENGGANU - Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak menampilkan mana-mana calon sebagai 'poster boy' kerana mahu memberi fokus terhadap pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos ini.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti berkenaan calon yang bakal diangkat menjadi Menteri Besar jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN nanti.
Jelas beliau, fokus utama ketika ini adalah untuk memenangi PRN dengan majoriti selesa untuk mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu.
"Kita tak letak calon (Menteri Besar) siapa-siapa. Yang penting kita kena menang dulu. Jangan (sesiapa) angan-angan nak jadi Menteri Besar... Kita kena kerja, menang di kerusi masing-masing, kemudian pemilihan Menteri Besar tu akan ditentukan Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin).
"Ia hak mutlak Tuanku, saya pun tak ada makluman mengenai 'poster boy' setakat ini, kalau ada yang disebarkan pun di luar pengetahuan kita," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan watikah kepada 27 calon BN di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak melakukan sebarang tindakan atau yang hanya akan merugikan parti.
"Lepas dapat watikah ni, segera buat persiapan dan gerak kerja untuk menang. Saya harap calon-calon jumpa lah pimpinan di peringkat DUN masing-masing, kalau ada masalah sebelum ni, minta maaf, jangan segan silu.
"Sebagai pemimpin, jangan terlalu mudah terasa hati atau berkecil hati, sebaliknya kena sentiasa berhati-hati dan perlu berjiwa besar dalam menerima keputusan parti.
"Sekarang kita sokong orang yang bertanding dan pada masa akan datang, orang pula yang akan sokong kita bertanding, itu yang utama perlu beri sokongan sepenuh hati kerana kita kerja untuk parti," katanya.
Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan sebagai calon Menteri Besar antaranya Ahmad yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (DUN Seberang Takir); Datuk Rozi Mamat (DUN Telemong) dan Datuk Seri Jailani Johari (DUN Ajil).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!