SPRM tahan pengurus, lima pegawai pasukan keselamatan

Suspek disyaki terlibat tuntutan palsu dan rasuah membabitkan pembekalan peralatan senjata berjumlah lebih RM550,000 ditahan SPRM pada Rabu.
Suspek disyaki terlibat tuntutan palsu dan rasuah membabitkan pembekalan peralatan senjata berjumlah lebih RM550,000 ditahan SPRM pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan seorang pengurus syarikat dan lima pegawai di agensi keselamatan negara kerana disyaki terlibat dengan tuntutan palsu.

Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai terlibat dengan perbuatan rasuah membabitkan pembekalan peralatan senjata berjumlah lebih RM550,000.

Sumber berkata, mereka yang ditahan adalah lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dan ditahan jam 10 malam pada Rabu di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada tahun lalu, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dibekalkan," kata sumber pada Khamis.

Tambahnya, perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Ogos telah dikeluarkan oleh Majistret Wong Chai Sia ke atas lima suspek tersebut.

Jelasnya, penahanan dibuat selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi Khamis, manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM ekoran masalah kesihatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!