Penglibatan penjawat awam gred 54 dalam rasuah membimbangkan

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan penjawat awam gred 54 dalam gejala rasuah kini bukan sahaja membimbangkan malah memperlihatkan satu penanda aras tidak sihat berbanding 10 tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata, kes berprofil tinggi yang menunjukkan peningkatan sejak 2018 itu seolah-olah menjadi perkara biasa.

Azam berkata, biasanya ia melibatkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain.

"Kalau dahulu hanya seorang dua sahaja, sekarang perkara tersebut menjadi kebiasaan malah agak menakutkan apabila penerima rasuah itu turut terdiri dalam kalangan pegawai kerajaan gred 54.

"Menyiasat kes berprofil tinggi ini tidak sama kerana agak sulit dan kompleks berbanding kes lain terutamanya dalam usaha untuk membuktikan unsur rasuah berlaku, sangat memerlukan ketelitian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official pada Khamis.

Beliau memberi contoh, seorang pegawai kerajaan Jusa C mengambil rasuah sebanyak RM100,000 atau RM200,000 tetapi siasatannya lebih sukar apabila melibatkan banyak pihak.

"Kalau kes profil tinggi biasanya ada 'layer' dia, untuk sampai ke individu berkenaan perlu cari satu-satu siapa yang terlibat bagi mengesahkan wang itu sampai kepadanya.

"Ada juga yang menggunakan proksi, kadang-kadang ia tidak wujud malah mereka lakukan pengubahan wang haram. Namun kita tetap akan cari balik wang yang dicuci itu sehingga mereka bankrap semula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!