Yayasan Selangor bantu hampir 30,000 pelajar, mahasiswa
SHAH ALAM - Yayasan Selangor menyalurkan sejumlah RM467,000 kepada pelajar dan mahasiswa tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam tempoh lima tahun bermula sejak 2018 Yayasan Selangor telah membantu seramai 23,093 pelajar yang mendapat tajaan dengan jumlah RM9.84 juta.
"Seramai 5,041 mahasiswa menerima pinjaman pendidikan dengan jumlah pinjaman yang dibiayai sebanyak RM25 juta," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin turut berkongsi gambar ketika majlis penyampaian peruntukan kepada 93 sekolah dan bantuan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan dalam melestarikan pembangunan pendidikan Selangor pada Khamis.
Peruntukan berkenaan diberikan melalui Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani.
Beliau sebelum itu turut melancarkan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM).
Amirudi menambah, pendidikan sentiasa menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan Selangor dan dengan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri, agenda pendidikan ini akan lebih diperkasa dan diperkukuhkan demi masa depan anak-anak kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!