Bantah calon DUN Kota Siputeh, cabut bendera PN sebagai protes
KODIANG - Sebahagian Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) mengadakan protes menyatakan bantahan terhadap calon dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.
Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Jerlun, Zailani Md Zain berkata, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Rabu bukanlah benar-benar anak tempatan.
Justeru, kata Zailani, beliau berharap pucuk pimpinan terlibat khususnya Bersatu dapat membuat penilaian semula calon yang ingin diletakkan di kawasan DUN tersebut.
"Kami nak orang yang berada di DUN Kota Siputeh yang menjadi calon kami iaitu Abdul Ramli (Ketua Bahagian Bersatu Jerlun) menjadi calon di Kota Siputeh. Kami menolak (Mohd Ashraf Mustaqim) dan tidak akan membuka bilik gerakan PDM.
"Jikalau (pihak berkenaan) ada kuasa, maka datanglah buka (PDM) di mana sekalipun. Tetapi (sebagai) penyokong kami menolak (calon PN terbabit)," katanya ketika ditemui pemberita di PDM Kandis, di sini pada Khamis.
Menurut Zailani, pihaknya menolak calon PN terbabit disebabkan Mohd Ashraf Mustaqim bukanlah dari Bersatu Bahagian Jerlun, malah namanya tidak dicadangkan melalui mereka.
Beliau berkata, pihaknya percaya PN tidak akan meraih kemenangan di DUN Kota Siputeh sekiranya masih mengekalkan Mohd Ashraf Mustaqim sebagai calon.
"Kami tidak merestui calon (Mohd Ashraf Mustaqim), sebaliknya kami lebih mesra dengan Abdul sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lepas," katanya.
Sehubungan itu, Zailani berkata, pihaknya berharap pucuk pimpinan dapat mempertimbangkan cadangan mereka dan membuat penilaian calon lain untuk DUN Kota Siputeh.
Pandangan sama disuarakan Setiausaha Bersatu Jerlun, Noorhazriza Noh, yang menolak calon PN dari Bersatu terbabit disebabkan dia bukanlah orang asal Kota Siputeh.
Noorhazriza berkata, mereka berharap Ketua Bahagian Bersatu Jerlun yang diletakkan sebagai calon disebabkan jasanya kepada parti termasuklah penubuhan parti itu di Jerlun.
"Hargailah Abdul dan akar umbi yang bekerja keras menaikkan balik Bersatu. Apabila macam ini (meletakkan calon luar), ahli Bersatu tidak akan percaya dengan kepimpinan," katanya.
Menurutnya, beliau melihat Bersatu akan kehilangan kepercayaan dan sokongan akar umbi sekiranya Mohd Ashraf Mustaqim masih dikekalkan sebagai calon DUN Kota Siputeh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!