'PN tempah musibah jika calonkan Dominic di Bayan Lepas'
GEORGETOWN - Perikatan Nasional (PN) hanya mencari musibah dan dijangka akan tewas di DUN Bayan Lepas sekiranya mencalonkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim mendakwa, kerusi DUN Bayan Lepas yang sepatutnya ditandingi Pas telah dirampas oleh Gerakan secara 'kawtim' di peringkat PN Pusat.
Menurutnya, perkara itu juga tidak dirunding terlebih dahulu dengan kepimpinan Pas Pusat hingga menyebabkan namanya yang ditetapkan sebelum ini untuk menjadi calon di kerusi berkenaan disingkirkan begitu sahaja.
"Disebabkan Dominic ini merupakan Timbalan Presiden PN dan mereka telah 'kawtim' di atas dan tukar nama di peringkat atasan tanpa melalui kelulusan pimpinan Pas Pusat.
"Pas Pusat telah keluarkan senarai nama akhir calon yang akan bertanding namun ditukar dengan meletakkan nama Dominic dan nama saya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.
Iszuree berkata, tindakan Dominic yang disifatkan tamak serta pentingkan diri itu amat dikesalkan walaupun beliau sendiri pernah menghubunginya dan membantah untuk Gerakan bertanding di kerusi majoriti Melayu itu.
Katanya, tindakan Dominic untuk masuk bertanding di Bayan Lepas akan menyebabkan jentera dan penyokong Pas marah termasuk kehilangan undi orang Melayu pada 12 Ogos nanti.
"Kita jangkakan Pas dan PN boleh menang di situ tapi sekarang ini dengan tindakan Dominic yang membuat keputusan tanpa berbincang di peringkat negeri akan mengakibatkan kita akan hilang kerusi yang berpotensi menang.
"Saya sendiri telah berhubung dengannya dan menyatakan bantahan. Saya maklumkan tindakan ini akan membahayakannya sebagai Presiden Gerakan.
"Beliau lebih sesuai bertanding di kawasan campuran dan kita akan bantu melalui jentera-jentera Pas," katanya lagi.
Beliau menegaskan, sekiranya Dominic masih degil, beliau hanya menempah musibah dan tidak akan menang mudah kerana ahli Pas tidak akan mengundinya.
Katanya, berbeza sekiranya calon Pas diletakkan di kawasan tersebut, sudah pasti peluang untuk merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH) agak cerah.
"Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan meletakkan calon luar di Bayan Lepas sedangkan kita dah buat kerja dan turun ke lapangan.
"Saya punya poster-poster telah siap dan ada juga yang telah dicetak," katanya.
Ditanya sama ada beliau masih mengharapkan perubahan nama calon dibuat bagi DUN Bayan Lepas, Iszuree memohon agar PN Pusat untuk tidak membuat keputusan salah dan akan merugikan satu kerusi yang mampu dimenangi oleh PN pada PRN kali ini.
"Kita mempunyai keupayaan untuk menang di Bayan Lepas. Hanya kerana sentimen dia presiden parti komponen, PN telah ambil calon yang tidak ada hubungan kait dengan lapangan.
"Ini akan merugikan dan sudah tentu bukan saya sahaja dukacita tetapi seluruh jentera Pas di sini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!