Kerajaan baik pulih, bina baharu rumah daif anggota Rela
PORT DICKSON - Kerajaan akan membaik pulih dan membina baharu rumah daif anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terutama bagi Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) di seluruh negara dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata, nilai peruntukan adalah bergantung kepada senarai jumlah penerima yang akan dikemukakan oleh Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman kepada beliau selewat-lewatnya dua minggu untuk kelulusan.
"Peruntukan itu adalah peruntukan sedia ada daripada KKDW, selain kita menggunakan senarai e-Kasih, kita juga memberi peruntukan mengikut senarai dikemukakan ketua pengarah, supaya rumah daif anggota ini akan dibaiki... kita mempunyai peruntukan yang agak banyak untuk Rela.
"Saya akan dapatkan senarai itu dan terus melakukan pelaksanaan dengan penyelarasan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Rela... ini kali pertama tak pernah dilakukan sebelum ini. Setiap satu rumah maksimum RM17,000 dan untuk bina baharu hampir RM70,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Rela Negeri Sembilan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid turut meminta supaya pembinaan dan pembaikan rumah berkenaan dilaksanakan sendiri oleh anggota Rela sekali gus akan mempercepatkan pembinaan rumah terlibat dan boleh diduduki dalam kadar segera.
"Sebab untuk kampung-kampung tradisional lain kita gunakan Giatmara untuk bina berbeza dengan Rela kita minta anggota sendiri yang membaiki dan membina baharu rumah terbabit... ini adalah langkah permulaan, saya yakin jika rumah dibuat gotong-royong ia akan lebih cepat dan kualitinya adalah lebih baik," katanya.
Sementara itu, semasa ucapannya Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mempertimbangkan kenaikan elaun anggota Rela yang sudah lama tidak dinaikkan.
Beliau berkata, ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka iaitu barisan kedua pertahanan dan keselamatan negara dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Rela bukan hanya sekadar untuk jadi anggota membantu PDRM, jaga kesesakan di majlis keraian tetapi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saya sendiri telah beri kuasa untuk Rela berada di kawasan bencana... ini ertinya kita memberi pengiktirafan kepada Rela," katanya.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyerahkan Kit Penugasan Rondaan Komuniti dan Monsun Timur Laut (MTL) kepada wakil anggota sebagai simbolik penugasan anggota Rela. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!