Pelabur Bandaraya Getah Kedah hampir tarik diri - Mahdzir

Mahdzir (empat, kanan) menyerahkan panji-panji kepada wakil gerak kerja PRN bagi DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), pada Khamis.
Mahdzir (empat, kanan) menyerahkan panji-panji kepada wakil gerak kerja PRN bagi DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERANG - Salah satu daripada dua pelabur utama di Bandaraya Getah Kedah (KRC) di Padang Sanai didakwa hampir menarik diri apabila kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah kemasukan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa, sehingga kini tiada jaminan daripada kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh terdekat berikutan pengambilan tanah untuk memasang tiang elektrik masih belum selesai.

Menurutnya, bekalan elektrik belum dapat disalurkan ke KRC biarpun projek berkenaan sudah memasuki tahun keenam.

“Mengapa elektrik tak boleh sampai? Sebab Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) tak ambil peduli sedangkan pembangunan di situ penting kerana membuka ribuan peluang pekerjaan.

"Kalau Menteri Besar ambil peduli, panggillah wakil Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak terlibat untuk tanya bila nak siap? Tetapi Menteri Besar tidak buat kerja sebaliknya asyik mengata dan memfitnah orang," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya negeri (PRN) Kedah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di sini pada Khamis.

Mahdzir memaklumkan, bekalan elektrik khas di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

"Minggu lepas, salah satu pelabur datang jumpa saya dan maklumkan kalau Februari tahun depan, elektrik tak masuk ke sana, mereka terpaksa tarik diri. Saya katakan kepada mereka sabar sekejap, tunggu hingga 12 Ogos depan untuk kita tukar kerajaan dan laksanakan projek tersebut," katanya lagi.

Pada sidang media selepas itu, Mahdzir yang juga calon BN bagi DUN Pedu berkata, ketidakpastian berkaitan kemudahan asas itu sudah tentu menimbulkan kebimbangan pelabur kerana mereka dikhabarkan turut diundang untuk melabur di tempat lain.

"Kalau kerajaan negeri keluar kenyataan beri jaminan boleh masuk bekalan elektrik pada September atau Oktober, sudah ada keputusan dalam mesyuarat Exco untuk pengambilan tanah, mudahlah. Menteri Besar ada di situ, beliau bolehlah panggil pihak berkaitan untuk kepastian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sekiranya kerajaan negeri tidak memulakan pelaksanaannya, dibimbangi perkembangan KRC semakin lambat.

“Sudah tentu pelabur tak boleh tunggu kerana tindakan itu akan membuatkan mereka rugi," jelasnya.

Pada Mac 2021, Mahdzir yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Padang Terap telah membangkitkan isu sama dan meminta kerajaan mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi tujuan menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air untuk pembangunan KRC.

Ini kerana kerja-kerja untuk menyalurkan kemudahan elektrik dan air masih tertangguh sejak pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!