TNB Melaka ambil perhatian aduan pengguna

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka memberi jaminan kepada pengguna 'Smart Meter' di negeri ini untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.

Pengarahnya, Rezahan Mohammad berkata, setiap keluhan dan aduan pengguna diambil perhatian termasuk membuat semakan segera.

Menurutnya, sekiranya semakan yang dilakukan mendapati terdapat lebihan caj direkodkan dalam akaun pengguna, TNB akan mengkreditkan semula ke dalam akaun mereka.

"Pengguna dinasihatkan tidak bimbang dan kami (TNB) tidak akan membuat sebarang pemotongan bekalan elektrik sementara aduan pengguna akan diperincikan.

"Kami juga mengalu-alukan pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan boleh menghubungi talian 1300-88-5454 atau datang ke pejabat TNB negeri mahupun cawangan di daerah yang berhampiran mereka," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan TNB Melaka.

Tambah Rezahan, pihaknya juga memohon maaf atas segala kesulitan yang terpaksa dihadapi pengguna dan TNB akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Baru-baru ini tular di laman sosial mengenai keluhan pengguna berhubung isu pemasangan meter pintar di negeri ini hingga menimbulkan kemarahan netizen dan rata-rata pengguna turut melahirkan rasa ketidakpuasan hati dan mendakwa mengalami kenaikan harga bil utiliti itu selepas membuat penukaran kepada meter pintar.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Adly Zahari juga mengeluarkan kenyataan menggesa TNB menyelesaikan segera isu berkenaan selain menyarankan pihak berkenaan memperhalusi perkara tersebut dengan menggerakkan unit pemantau bagi mengetahui secara jelas punca kenaikan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!