PRN: Dua calon PN tidak diumum sebab hal teknikal

Ahmad Faizal ketika majlis pengumuman calon PN Negeri Sembilan pada Khamis di sini.
Ahmad Faizal ketika majlis pengumuman calon PN Negeri Sembilan pada Khamis di sini.
A
A
A

SEREMBAN - Wujud masalah teknikal yang perlu diperhalusi menyebabkan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan memutuskan untuk mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung dan Jeram Padang pada Jumaat.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bagi mengelakkan masalah pada hari penamaan calon nanti.

"Dua nama lagi saya tidak umumkan pada malam ini walaupun sebenarnya kita telah pun putuskan kerana masih ada perkara teknikal perlu diperhalusi.

"Ia agar tidak mendatangkan masalah pada hari penamaan calon nanti. Nama yang akan mewakili DUN Sri Tanjung dan Jeram Padang akan diumum esok," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman calon PN Negeri Sembilan pada Khamis di sini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Faizal hanya mengumumkan 34 calon sahaja daripada 36 kerusi yang akan ditandingi di Negeri Sembilan.

Malah beliau juga enggan mendedahkan jumlah kerusi yang ditandingi setiap parti dalam gabungan itu kerana mahu masyarakat melihat calon ditampilkan mewakili PN bukannya parti.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap calon yang dipilih sememangnya melalui proses tapisan yang ketat dan ia salah satu faktor berlakunya sedikit kelewatan dalam menamakan calon.

"Kami yakin dengan senarai calon yang telah kami senaraikan ini adalah calon yang terbaik bagi mewakili semua kaum dan juga PN secara keseluruhannya.

"Kalau kita tengok di sini ramai sahaja calon, saya pun tak jadi calon dan ramai lagi yang tak jadi calon sebenarnya, ia bukan masalah tak ada calon, tetapi mungkin kerana kita mempunyai ramai (calon) yang berkebolehan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Senarai calon PN di Negeri Sembilan

Pas Negeri Sembilan tampil tiga calon bukan Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!