Kenapa dibiar scammer terus berleluasa?
JENAYAH penipuan siber atau scam saban tahun menunjukkan trend yang semakin membimbangkan dan hampir setiap hari ada saja kes mangsa ditipu melalui panggilan telefon atau media sosial.
Di Pahang misalnya, pada Januari tahun ini, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang ketika itu Ketua Polis Negeri mendedahkan, dalam sehari secara purata sekurang-kurangnya seorang individu menjadi mangsa penipuan jenayah tersebut. Berdasarkan rekod, jumlah mangsa pada tahun lalu mencecah 10,786 kes.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah komersial pada tahun 2022 sebanyak 30,536 kes membabitkan kerugian RM1.73 bilion dengan tangkapan sebanyak 20,252 berbanding 31,490 kes pada 2021 dengan jumlah kerugian mencecah RM2.20 bilion dan tangkapan sebanyak 16,778.
Polis juga percaya jumlah mangsa dan kerugian yang dialami akibat scam itu lebih besar kerana ramai mangsa yang tidak mahu melaporkan kepada pihak berkuasa atas faktor malu apabila melibatkan status sosial dan kerjaya profesional mereka.
Pada ketika banyak peringatan dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk kempen melalui akhbar, televisyen dan radio, namun mangsa-mangsa yang diperdayakan scammer terus meningkat.
Apa yang menyedihkan, rakyat negara ini seolah-olah telah ‘dikepung’ oleh pelbagai jenis scam.
Antara jenis penipuan yang kerap dilaporkan ialah tawaran pekerjaan yang tidak wujud, Macau Scam, Love Scam, scam pelaburan, scam wang dari pihak luar dan sebagainya. Malah terbaharu, ada sindiket penipuan berani menggunakan gambar tokoh media dan beberapa ustaz terkenal untuk memancing orang ramai melabur dalam skim pelaburan syariah.
Kekerapan gangguan dan kebimbangan melampau terhadap sindiket penipuan menyebabkan ada di kalangan rakyat yang mengelak menjawab panggilan telefon yang bermula dengan angka 03 (jika berada di Lembah Klang) atau nombor-nombor telefon yang tidak tersimpan di dalam telefon bimbit mereka kerana takut berurusan dengan anggota sindiket tanpa menyedari ada antara deringan telefon itu mungkin penting.
Persoalannya, sampai bilakah rakyat negara ini dibiarkan hidup dalam ketidakpastian sama ada mereka akan menjadi mangsa seterusnya?
Jika berdasarkan kepada statistik PDRM, sebanyak 20,252 tangkapan dilakukan ke atas individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pada tahun 2022 dan 31,490 tangkapan lagi pada 2021.
Berdasarkan angka itu, kita boleh bayangkan betapa ramainya mereka yang terlibat dengan aktiviti scam di negara ini. Pada tahun 2018 saja, hampir 40,000 keldai akaun iaitu individu yang bersubahat membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh pihak sindiket diburu oleh polis.
Walaupun isu scam ada dibincangkan sama ada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi sehingga kini belum nampak ada usaha bersungguh untuk segera meminda akta sedia ada terutama dalam bentuk hukuman yang wajar dikenakan bagi memerangi penipuan siber.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ketika persidangan Dewan Rakyat pada Mac lalu berkata, pihaknya sentiasa merancang, menjalankan kajian dan menyemak semula undang-undang yang dikuatkuasakan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
“Kita akan kaji semula peraturan Akta Perlindungan Pengguna 2007 sekiranya dapat membendung segala jenis jenayah yang berlaku dalam negara ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang ahli Parlimen.
Sehubungan itu, kerajaan diharap memandang sebelah mata tindakan dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan scam kerana hukuman sekarang dilihat terlalu ringan dan bergantung kepada mahkamah di sesuatu negeri.
Ada keldai akaun yang dihadapkan ke sebuah mahkamah majistret hanya didenda RM200 dan penjara lima hari jika gagal membayar denda tersebut. Di Ampang Jaya, Selangor pada Jun tahun lalu, seramai 10 keldai akaun didenda RM1,000 setiap seorang dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Adalah menjadi harapan rakyat agar kerajaan dapat segera meminda akta Perlindungan Pengguna 2007 dengan memperkenalkan hukuman setimpal ke atas semua pihak yang terlibat dalam penipuan siber dan tidak lagi terlalu bergantung kepada PDRM untuk melakukan tangkapan demi tangkapan sedangkan hakikatnya scammer terus berleluasa mencari mangsa.
* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!