Apa status LTdL 2023?

Hannah (tengah) bersama Abu Samah (tiga dari kanan) dan Adam Adli (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Putrajaya pada 4 Julai lalu.
Hannah (tengah) bersama Abu Samah (tiga dari kanan) dan Adam Adli (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Putrajaya pada 4 Julai lalu.
A
A
A

APA sudah jadi? Kira-kira dua bulan sebelum berlangsungnya Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, tiba-tiba kejohanan berbasikal terulung di Asia itu dikatakan 'ghaib' dalam senarai kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Hasil semakan di laman sesawang rasmi https://www.uci.org/ setakat jam 6 petang Khamis, didapati LTdL 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan tiada lagi dalam senarai kejohanan kalendar UCI pada tahun ini.

Situasi yang berlaku itu jelas sekali cukup mengejutkan memandangkan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur LTdL 2023 sudah membuat persiapan bagi menganjurkan kejohanan berstatus ProSeries itu.

Malah, MSN telah mengadakan Majlis Pelancaran LTdL 2023 dengan tema Beat The Heat di Putrajaya pada 4 Julai lalu yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Sebelum ini, Abu Samah telah membawa khabar berita penganjuran LTdL 2024 berdepan kemungkinan digugurkan daripada kalendar UCI susulan tunggakan hutang yang belum diselesaikan kepada lima pasukan.

Abu Samah memaklumkan tunggakan hutang mencecah lebih RM1 juta yang belum dilunaskan penganjur LTdL sebelum ini melibatkan yuran penampilan dan tiket penerbangan pasukan terlibat.

Ternyata kebimbangan yang disuarakan Abu Samah itu mengenai kemungkinan LTdL 2024 tidak dapat dianjurkan hadir lebih awal dengan 'ketiadaan' LTdL 2023 dalam kalendar UCI.

Untuk rekod, syarikat pengurusan acara, Human Voyage (M) Sdn Bhd diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL antara 2019 hingga 2021.

Namun, Human Voyage mendapat 'lesen' sehingga tahun lalu selepas penganjuran LTdL pada edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik Covid-19.

Kini melihatkan kembali kalendar UCI di laman rasmi badan induk berbasikal dunia itu, 'ketiadaan' LTdL 2023 secara tidak langsung mencetuskan tanda tanya mengenai status kejohanan tahun ini.

Perkhabaran itu juga pastinya menimbulkan keresahan kepada setiap pemegang taruh terlibat khususnya MSN mahupun PKBM selain pasukan yang bakal bertanding dalam mengetahui status sebenar penganjuran LTdL 2023.

Mengikut jadual, LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-23 membabitkan lapan peringkat perlumbaan - bermula di Kerteh, Terengganu sebelum kemuncaknya berakhir di Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!