Ibu muda upah lelaki bunuh anak tiga tahun
TALLAHASSE - Seorang ibu muda di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas didakwa merancang membunuh anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
Rancangan jahat Jazmin Paez, 18, dari Miami terbongkar selepas pengendali laman sesawang palsu yang menawarkan khidmat pembunuh upahan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Menurut penyiasat, laman sesawang itu sengaja diwujudkan dalam usaha menangkap dan mengekang individu yang cuba mendapatkan khidmat pembunuh upahan.
Susulan laporan tersebut, pegawai di Jabatan Polis Miami melakukan penyamaran dan bertemu dengan remaja berkenaan yang bersetuju membayar AS$3,000 (RM13,565) untuk tugasan membunuh anaknya.
Kenyataan polis menyebut bahawa selepas ibu muda tersebut benar-benar didapati berniat mencari pembunuh upahan barulah pegawai bertindak menahannya.
Tambah kenyataan itu, kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan selamat di kediaman suspek.
Sementara itu, penyiasat enggan membuat spekulasi mengenai motif remaja tersebut tetapi pemeriksaan di komputernya mendapati banyak alamat protokol internet (IP) berkaitan laman sesawang yang kononnya menawarkan khidmat pembunuh upahan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!