PRN: Ketua Kampung Chennah cabar Anthony
SEREMBAN - Pertembungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah antara parti Kerajaan Perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN) agak menarik apabila penyandang kerusi itu Anthony Loke Siew Fook bakal bertembung dengan Ketua Kampung Chennah, Rosmadi Arif.
Ahli jawatankuasa Jelebu itu pernah digelar sebagai wira kampung Chennah oleh Menteri Pengangkutan itu kerana menyelamatkan lebih 70 orang yang terkandas di Perkampungan Orang Asli Kampung Esok semasa banjir besar berlaku.
Menurut lelaki berusia 52 tahun itu, beliau sedikit pun tidak berasa gentar meskipun perlu berdepan dengan nama besar.
"Bagi saya pertandingan tetap pertandingan dan siapa juga yang kita lawan, parti adalah parti.
"Saya sebagai wakil calon PN akan menghadapi siapa pun. Walaupun orang itu ternama, tapi saya sebagai orang baru tetap akan melawannya habis-habisan," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Sementara itu beliau mengakui yang Anthony seorang yang baik dan hebat.
Namun katanya, apabila diberi kepercayaan oleh parti, beliau akan melakukannya sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan kepada PN.
"Jadi saya tak kisah lawan dengan siapa pun kerana matlamat saya bila bertanding, saya nak menang," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Anthony berjaya mempertahankan DUN Chennah apabila mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan 1,155 majoriti undi.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRN: Senarai calon PN di Negeri Sembilan
PRN: Anak Rais Yatim bertembung dengan sepupu
PRN: Dua calon PN tidak diumum sebab hal teknikal
Pas Negeri Sembilan tampil tiga calon bukan Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!