Silva gantung but disebabkan ACL
BEKAS pemain Sepanyol, David Silva mengumumkan persaraannya beberapa hari selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) semasa sesi latihan pramusim bersama kelabnya Real Sociedad.
Pemain tengah berusia 37 tahun itu cedera lutut kirinya pada awal Julai lalu, ketika berlatih menjelang musim keempatnya bersama kelab LaLiga tersebut.
“Hari ini merupakan hari yang menyedihkan bagi saya.
“Kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada apa yang telah saya dedikasikan sepanjang hidup.
“Selamat tinggal kepada rakan sekerja, yang seperti ahli keluarga saya. Saya akan sentiasa merindui awak semua,” kata Silva dalam video yang disiarkan di media sosialnya.
Video tersebut mengimbas kembali beberapa sorotan kerjayanya yang merupakan antara pemain terbaik generasinya.
Silva mempunyai kabinet trofi penuh trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, La Liga dan pasukan kebangsaan Sepanyol.
Dia memenangi trofi utama, termasuk Piala Dunia pada 2010 dan Kejuaraan Eropah dua kali bersama Sepanyol
Selain itu, dia memenangi Piala Raja Sepanyol dua kali, sekali bersama Valencia pada 2008 dan trofi terakhirnya bersama Real Sociedad pada 2020.
Namun kejayaan karier kelabnya yang paling berimpak tinggi ialah semasa di Manchester City.
Di Etihad, Silva memenangi Liga Perdana Inggeris empat kali, Piala FA dua kali dan lima Piala Liga dalam tempoh sedekad dari 2010-2020.
Produk akademi Valencia, Silva mencetak lebih daripada 120 gol dan hampir 200 bantuan dalam hampir 750 penampilan kelab, sambil menjaringkan 35 kali dalam 125 penampilan untuk Sepanyol.
Silva juga diberi penghormatan dengan monument di luar Stadium Etihad City sebagai pengiktirafan atas sumbangannya kepada kejayaan kelab selepas pemergiannya pada 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!