Benzema cetus impak di Al-Ittihad
KARIM Benzema meledak gol pada penampilan sulungnya untuk Al-Ittihad untuk membantu pasukan itu menewaskan ES Tunis 2-1 dalam aksi Piala Kelab Juara-Juara Arab pada Jumaat.
Penyerang berusia 35 tahun itu menyertai juara Liga Pro Saudi dengan kontrak tiga tahun selepas menamatkan kariernya di Real Madrid.
Dia menjadi pemain bintang kedua, selepas Cristiano Ronaldo yang berpindah ke negara Timur Tengah.
Penyokong Al-Ittihad dapat menyaksikan penampilan pertama Benzema ketika dia dan seorang lagi rekrut baharu kelab itu, Jota yang menyertai pasukan dari Celtic berada dalam kesebelasan utama.
Al-Ittihad terlebih dahulu berada di hadapan melalui sepakan voli Ousemma Bouguerra pada minit ke-26 untuk meletakkan Tunis di depan.
Tetapi, kelab Saudi itu menyamakan kedudukan enam minit kemudian apabila Abderrazak Hamdallah menjaringkan gol menerusi tandukan jarak dekat hasil hantaran lintang Benzema.
Benzema membuktikan kualiti yang dimilikinya itu dengan rembatan dari luar kotak penalti untuk memberikan gol kemenangan buat pasukan kendalian Nuno Espirito Santo itu.
N'Golo Kante yang menyertai kelab Arab itu secara percuma dari Chelsea turut membuat penampilan pertama selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.
Al-Ittihad pernah memenangi Piala Kelab Juara-Juara Arab itu sekali dalam sejarah mereka pada tahun 2004-05 dan berharap untuk menambah koleksi itu pada tahun ini.
Mereka akan menentang pasukan Tunisia, CS Sfaxien pada Ahad dalam perlawanan kedua mereka di kejohanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!