'Ronaldo bermain kerana wang' - Ighalo
BEKAS pemain Manchester United, Odion Ighalo menuduh Cristiano Ronaldo bermain di kelab Arab Saudi semata-mata kerana wang.
Ighalo yang menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Pro Saudi bersama pasukan Al-Hilal musim lalu mendakwa motivasi di sebalik keputusannya dan bintang lain bermain di Arab Saudi berpunca daripada tawaran gaji lumayan.
Dalam temu bual dengan OmaSportsTV melalui Sportskeeda, Ighalo berkata: "Apabila anda masih muda, ya, anda bermain untuk minat. Ketika itu, anda tidak mementingkan wang.
“Tetapi pada usia saya, saya berada di peringkat akhir karier saya, saya tidak tahu sama ada ia akan menjadi satu, dua tahun atau bila tuhan akan menyuruh saya berhenti.
“Saya tahu ia tidak akan lebih daripada tiga tahun.
“Saya telah bermain dengan penuh minat sepanjang hidup saya, tetapi di penghujungnya segalanya kerana wang.
“Saya bukan salah seorang pemain yang datang dan berkata saya bermain kerana minat. Akhirnya ia adalah kerana wang," katanya.
Pemain berusia 34 tahun itu kemudiannya bercakap mengenai Ronaldo, yang dilaporkan menerima £173 juta (RM1 bilion) setahun di Al-Nassr dan jauh mengatasi kontrak Lionel Messi di Inter Miami.
“Adakah Ronaldo masih bermain kerana minat? Ronaldo telah memperoleh 100 kali ganda lebih daripada yang saya perolehi sepanjang hidup tetapi dia pergi ke Arab Saudi.
“Adakah dia melakukan itu kerana minat? Ini semata-mata kerana wang," katanya.
Sejak tiba di Timur Tengah, Ronaldo telah menjaringkan 14 gol dalam 19 perlawanan untuk Al-Nassr.
Ketibaannya telah membuka pintu kepada bintang lain untuk menyertai kelab Arab Saudi iaitu Karim Benzema, N'Golo Kante dan kapten Liverpool, Jordan Henderson.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!