Keberkatan mencari rezeki pada waktu pagi

Bangunlah mencari rezeki pada waktu pagi kerana ia adalah saat yang penuh berkat untuk kita melakukan pelbagai perkara. -GAMBAR HIASAN.
Bangunlah mencari rezeki pada waktu pagi kerana ia adalah saat yang penuh berkat untuk kita melakukan pelbagai perkara. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

ISLAM begitu menggalakkan umatnya mencari rezeki pada waktu pagi.

Waktu pagi sebenarnya adalah saat yang penuh berkat untuk kita melakukan pelbagai perkara.

Alangkah ruginya seandainya kita gunakan masa ini untuk menyambung tidur usai solat Subuh.

Rasulullah SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan." (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

Kenapa waktu pagi dikatakan sebagai waktu yang berkat dan membawa keuntungan?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Shakhr bin Wada'ah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa agar umatnya diberikan berkah pada waktu pagi.

Shakhr adalah seorang pedagang biasa yang mengirimkan barang dagangannya pada pagi hari sehingga beliau menjadi kaya dan banyak hartanya.

Ini bermakna, Shakhr bin Wada'ah adalah orang yang selalu menyambut keberkahan ALLAH SWT pada waktu pagi.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, tidak semua daripada kita mudah untuk bangun pagi.

Kadangkala, ada dalam kalangan kita terpaksa mengunci jam berkali-kali supaya dapat bangun tepat pada waktunya.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan, tidur yang sangat tidak disukai oleh orang-orang soleh ialah tidur di antara solat Subuh dan terbit matahari.

Kerana apa? Sebab pada detik itu sebenarnya terdapat satu keistimewaan sehinggakan jika dikatakan seseorang melakukan perjalanan sehari suntuk, dia tidak dapat menandingi kelebihan mencari rezeki pada waktu pagi.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri, usai solat Subuh, baginda akan akan duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa solat fajar (solat Subuh) berjemaah di masjid kemudian, tetap duduk berzikir mengingati ALLAH hingga terbit matahari lalu, solat dua rakaat (solat duha), maka, seakan-akan ia mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna." (Riwayat at-Tirmizi)

Alangkah ruginya jika kita mensia-siakan peluang yang ALLAH berikan pada waktu pagi untuk mencari rezeki.

Marilah kita ubah aktiviti biasa kita kepada yang lebih baik.

Mudah-mudahan apa yang ditawarkan oleh ALLAH SWT akan menjadi milik kita juga.

(Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!