Didenda lebih setengah juta jual kasut Nike, Adidas palsu

Yin Keat (dua dari kiri) dan Kian Seng (dua dari kanan) dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
Yin Keat (dua dari kiri) dan Kian Seng (dua dari kanan) dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Tiga individu bersama syarikatnya didenda RM607,880 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membekalkan 4,342 pasang kasut jenama Nike dan Adidas palsu empat tahun lalu.

Tertuduh, Yap Kian Seng, 62, Yap Yin Keat, 51, dan Sun Haixia, 40, masing-masing merupakan pengarah serta pengurus syarikat Enhengda Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Hala Perusahaan Kledang Utara 4, Kawasan Perindustrian Menglembu, di sini jam 11.10 pagi pada 17 Mei 2019.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati ada dalam milikan untuk pembekalan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan bagi selipar dan kasut berjenama Adidas dan Nike keseluruhannya berjumlah 4,342.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Mahkamah kemudiannya memutuskan kesemua tertuduh dan syarikatnya bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Setelah mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Norashima Khalid kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM130,260 terhadap setiap tertuduh dan penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda.

Sementara itu, bagi syarikat pula, mahkamah menetapkan denda sebanyak RM217,100.

Bagaimanapun, pihak pembelaan meminta hukuman ditangguh memandangkan tertuduh memohon untuk rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman tersebut dan memberikan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni dan Mohd Asri Otsman manakala pendakwaan dikendalikan Muhammad Ridzuan Abd Rahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!