Yayasan ROSE menang anugerah di peringkat global

Dr Adeeba (kanan) bersama lima wakil Yayasan ROSE.
Dr Adeeba (kanan) bersama lima wakil Yayasan ROSE.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan ROSE mencatatkan sejarah apabila menjadi organisasi penjagaan klinikal bersepadu Asia yang pertama memenangi salah satu daripada tiga anugerah tersohor di peringkat global, di bawah program Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS.

Majlis rasmi penyampaian anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS akan diadakan pada 11 Ogos 2023.

Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, ROSE pada hari ini berdiri dengan bangganya bersama lebih 60 pasukan penjagaan klinikal bersepadu di seluruh dunia yang telah menunjukkan pencapaian yang berimpak tinggi.

“Antara pencapaian tersebut termasuk penyelesaian masalah menggunakan pendekatan yang inovatif, serta pemacuan transformasi penyampaian penjagaan kesihatan dengan kesan yang signifikan ke atas pesakit, doktor dan keseluruhan sistem kesihatan.

“Dalam usaha memerangi kanser serviks, anugerah ini akan mendorong kami untuk meningkatkan dan memperluas lagi penggunaan teknologi kesihatan berimpak tinggi untuk memperkasakan wanita yang terdedah kepada penyakit tersebut, terutamanya mereka yang berada dalam komuniti yang sukar mendapat penjagaan dan kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser kedua paling lazim berlaku dalam kalangan wanita di bawah umur 45 tahun.

“Dalam konteks ini, saringan yang komprehensif memainkan peranan yang sangat penting untuk mencapai penghapusan kanser serviks sebagai matlamat keseluruhan. Langkah ini membolehkan diagnosis awal dilakukan dan rawatan diberikan tepat pada masanya, dan ini dapat mempertingkatkan lagi kemungkinan untuk sembuh daripada penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan ROSE, Profesor Dr Woo Yin Ling berkata, program ROSE menggabungkan ujian HPV dengan kaedah pensampelan kendiri, dan keputusannya adalah lebih tepat daripada ujian pap smear yang lazimnya dijalankan.

“ROSE juga memastikan bahawa pesakit wanita yang disahkan menjangkiti HPV dibimbing dan dirujuk untuk mendapatkan penjagaan. Ujian HPV dan susulan yang betul jelas menjadi faktor yang penting untuk mencapai penghapusan kanser serviks. Oleh itu, seperti yang dicadangkan dalam nama organisasi kami, program ROSE telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menghilangkan halangan kepada pemeriksaan serviks.

“Inovasi utama yang kami tampilkan bukan sahaja ujian HPV yang menggunakan swab pensampelan kendiri tersebut. Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan golongan wanita memahami makna ujian yang dijalankan, dan jika perlu, memastikan mereka dirujuk ke hospital yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut. Langkah ini diutamakan bagi program ROSE,” katanya.

Beliau berkata, inovasi kedua program ROSE adalah menyepadukan penggunaan peranti mudah alih dengan platform e-kesihatan digital yang selamat untuk proses pendaftaran dan pengumpulan data.

“Ini memudahkan komunikasi dan akses kepada penjagaan sambil membimbing golongan wanita melalui sistem penjagaan kesihatan yang kompleks,” katanya.

Beliau menambah bahawa untuk mencapai misinya, program ROSE akan terus menekankan pendidikan, penglibatan pihak berkepentingan, pembuatan keputusan termaklum dan pembentukan dasar untuk wanita Malaysia yang sukar mendapatkan akses kepada pemeriksaan, terutamanya di peringkat penjagaan.

Program ROSE telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan, dan keputusan terapi kanser serviks bagi ramai wanita di Malaysia.

Sejak penubuhannya pada tahun 2019 hingga hari ini, program ROSE telah menyaring lebih 23,000 wanita dengan kadar akses kepada penjagaan yang melebihi 92.5 peratus bagi mereka yang didapati positif HPV.

Hampir 200 wanita telah dikenal pasti dan dirawat untuk prakanser dan kanser awal.

UNIVANTS telah ditubuhkan pada 2018 untuk memberi inspirasi dan mengiktiraf mereka yang telah meninggalkan impak bermakna dan mencapai hasil luar biasa untuk para pesakit, komuniti, pakar penjagaan kesihatan dan alam sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!