KBS sedia bertemu persatuan belia berdepan isu kelesuan
KOTA BHARU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk bertemu dengan mana-mana persatuan belia yang berdepan dengan isu kelesuan termasuk membabitkan ahli persatuan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.
Beliau berkata, setakat ini isu terbabit bukan sesuatu yang membimbangkan dalam kalangan persatuan belia memandangkan golongan belia dan persatuan ketika ini sangat aktif, tambahan pula persatuan belia sama ada yang bergabung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau yang bergerak sendiri, mempunyai peranan masing-masing dalam masyarakat.
"Lesu atau tidak (persatuan) kita tidak tahu kayu ukur macam mana. Itu pendapat yg dikeluarkan oleh mereka (Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Veteran (MAYC Veteran). Kita tengok dari sudut aktiviti golongan muda itu sendiri saya kira sekarang zaman ini sangat menarik (aktif).
"Malah, ramai golongan muda kini melibatkan diri dengan sangat aktif dalam ekonomi, inovasi, kesenian dan budaya. Bahkan, banyak tajuk-tajuk berita kini dihiasi dengan kejayaan golongan muda dan aktiviti ekonomi sekarang berkisar daya usaha golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia Peringkat KBS Tahun 2023 dan tinjauan pelaksanaan program Kemahiran Latihan Asas Sukan: (KLAS Renang) di Kelantan Golf and Country Club Kota Bharu, di sini pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan MAYC Veteran semalam yang mendedahkan penghijrahan orang muda ke bandar-bandar untuk mencari kerja atau penyambung pengajian antara punca banyak pertubuhan belia menjadi lesu.
Dalam perkembangan sama, Adam Adli berkata, KBS baru sahaja melancarkan Program Rakan Muda yang merupakan antara usaha pembangunan jati diri golongan belia selain turut melancarkan Program Sekolah Rukun Negara, untuk mendedahkan belia dengan kefahaman dan pengetahuan demokrasi.
"Jadi kita boleh lihat banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh kerajaan dengan melibatkan golongan belia. Lesu ini kalau tidak bergerak...tetapi sekarang kita bagi banyak platform untuk (belia) bergerak,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Adam Adli berkata, KLAS Renang yang dilancarkan pada Mei lalu membabitkan kategori 12 tahun mendapat sambutan yang menggalakkan selain pihaknya akan memperluaskan ke kategori bawah enam tahun, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) pada masa akan datang.
"Kita boleh nampak pelaksanaan KLAS Renang ini sangat positif dan tidak mustahil sekiranya peserta bakal menjadi atlet pada satu hari nanti memandangkan menerusi program ini peserta bukan sahaja didedahkan dengan asas renang tetapi turut didedahkn dengan teknik-teknik renang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!