Bantuan khas penjawat awam cerminan usaha kerajaan semak skim gaji

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman "Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” semalam, yang antara lain menyentuh mengenai kebajikan penjawat awam, membuktikan kerajaan sedang dalam usaha untuk menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam ketika ini.

Jururawat, Noor Shila Mat Sharrif, 32, ketika dihubungi Bernama berkata, walaupun ketika ini negara masih mengguna pakai skim gaji yang lama, namun pemberian Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam memberikan ‘isyarat awal’ bahawa inisiatif kerajaan telah bermula.

"Saya berharap kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam memandangkan kos sara hidup sekarang ini yang semakin meningkat. Inisiatif kerajaan ini tepat pada masanya dengan keadaan yang dialami penjawat awam,” katanya yang bekerja di sebuah Klinik Kesihatan di Daerah Kerian, Perak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran "Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” berkata kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 seorang kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu diumumkan sementara kajian gaji dan elaun diperincikan dan bayaran bantuan berkenaan dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM200 seorang kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Pegawai Am Rendah, Mohd Fadzil Abdul Razak, 51, pula berkata, inisiatif kerajaan itu membuktikan komitmen kerajaan yang sentiasa peka dan prihatin terhadap golongan berkenaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Beliau yang bekerja di Pejabat Tanah Daerah Pekan, Pahang berkata, ini kerana terdapat sesetengah penjawat awam yang terpaksa melakukan dua kerja kerana jumlah gaji sedia ada yang tidak mencukupi, terutamanya mereka yang duduk di kawasan bandar.

"Harapan saya, inisiatif ini bukan sahaja diberikan kepada penjawat awam tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Semoga inisiatif sebegini dapat dikekalkan, kerana ia dapat membantu golongan yang terkesan pada masa-masa yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, pesara, Muhammad Yunus Tukiman, 67, dari Klang, Selangor berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang tidak mengecualikan bantuan kepada golongan pesara.

"Syukur alhamdulillah. Terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan terhadap pesara awam. Semoga bantuan ini dapat meringankan sikit beban perbelanjaan harian yang semakin tinggi dan diharap usaha ini berterusan untuk bantu rakyat terutama pesara,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM

Ekonomi Madani: GLC & GLIC akan pacu pelaburan domestik

Ekonomi Madani kerangka utama ekonomi - Fahmi

KKDW, MOT bentang perincian Ekonomi Madani minggu depan

Gaji bermakna, kongsi kekayaan bina masyarakat saksama - PM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!