Amirudin sangkal dakwaan masjid, elaun penggerak berkurangan
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meminta agar pihak tertentu menghentikan fitnah berhubung jumlah masjid di negeri ini semakin berkurangan serta elaun penggerak masjid diturunkan.
Amirudin menegaskan, dakwaan itu tidak berasas kerana angka dan fakta menunjukkan kerajaan negeri istiqamah dalam menyuburkan syiar Islam di Selangor.
"Sebanyak 78 masjid dan 75 surau dibina baru dan ditambah baik, (manakala) elaun guru KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) ditingkatkan dan tertinggi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Twitter pada Jumaat.
Amirudin memberitahu, insentif khas khusus turut disalurkan kepada imam, bilal dan siak masjid seluruh Selangor serta jemaah haji muassasah.
"Elaun Imam di Selangor adalah RM1,300 sebulan bukan RM850 seperti yang didakwa dan jauhi fitnah yang merupakan dosa besar dalam Islam," ujar beliau.
Menerusi info grafik dimuat naik di Twitter menunjukkan, elaun imam 1 dan 2 berjumlah RM1,300 sebulan dan RM11,700 setahun.
Bilai 1 pula sebanyak RM290 sebulan, Nazir (RM250) sebulan, siak 1 (RM240) sebulan, bilal 2 (RM200) dan siak 2 (RM150).
Sebanyak RM100 pula disumbangkan kepada timbalan nazir, setiausaha dan bendahari.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun Twitter memuat naik kenyataan masjid di negeri ini berkurangan serta elaun penggerak masjid diturunkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!