Korea Utara pamer dron, misil baharu

Dron-dron canggih dan peluru berpandu jarak jauh, termasuk ICBM Hwasong-17 dan Hwasong-18, dipamerkan semasa perarakan ketenteraan Hari Kemenangan pada malam Khamis. - Foto AFP
Dron-dron canggih dan peluru berpandu jarak jauh, termasuk ICBM Hwasong-17 dan Hwasong-18, dipamerkan semasa perarakan ketenteraan Hari Kemenangan pada malam Khamis. - Foto AFP
A
A
A

SEOU - Korea Utara mempamerkan dron dan peluru berpandu bslistik antara benua (ICBM) baharu semasa perarakan ketenteraan di Pyongyang yang dihadiri tetamu berpangkat tinggi dari Rusia dan China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan bahawa dron-dron canggih dan peluru berpandu jarak jauh, termasuk ICBM Hwasong-17 dan Hwasong-18, dipamerkan semasa perarakan ketenteraan Hari Kemenangan pada malam Khamis.

27 Julai menandakan pemeteraian Perjanjian Persetujuan Gencatan Senjata Korea yang mengakhiri peperangan pada 1953, disambut di Pyongyang sebagai Hari Kemenangan.

Perjanjian gencatan senjata tersebut memisahkan Korea menjadi dua negara, manakala kira-kira dua hingga empat juta rakyat Korea terbunuh dalam peperangan antara 1950 dan 1953.

Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu, antara yang hadir menyaksikan perarakan dari pentas bersama pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un.

Kim juga menjemput Shoigu ke sebuah pameran senjata.

Kenyataan bahawa delegasi Rusia yang dipimpin oleh Shoigu turut mengambil bahagian dalam perarakan itu telah menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia tentang kerjasama ketenteraan yang meningkat antara Rusia dan Korea Utara.

Shoigu dan Kim sebelum ini dilaporkan "bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan negara dan penilaian serta pandangan mengenai persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa," menurut laporan penyiar Korea Utara, Voice of Korea. - Bernama-dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!