Dua lelaki ditahan, dadah lebih RM50,000 dirampas
KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM53,650 melalui Op Tapis Narkotik.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam lebih kurang 9.30 pagi Khamis itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Lata Rek, Kuala Krai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika serbuan, seorang lelaki bertindak cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah terbabit menemui 100 biji pil kuda dan 34.2 gram heroin dengan anggaran nilai rampasan dadah RM4,150.
"Suspek berusia umur 30 tahun itu juga didapati positif amphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Muhamad Zaki berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Sementara itu, beliau berkata, kes kedua melibatkan tangkapan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong Pasir Mas pada 1.50 pagi Jumaat.
Muhamad Zaki memberitahu, sepasukan polis ternampak sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dengan tingkap di bahagian pemandu terbuka.
"Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit bertindak mengundur kenderaan yang dinaikinya secara laju sebelum melanggar bahagian hadapan kereta polis.
"Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek yang terbabas di bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit menjumpai satu bungkusan plastik lut sinar dan di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1,790.45 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM49,500.
"Suspek yang berusia 21 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamine.
"Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat (hari ini) untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!