Pemandu bot dikhuatiri lemas di Tasik Kenyir

Keadaan di lokasi kejadian melibatkan dua buah bot yang bertembung di Sungai Pertang, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu. - Foto ihsan bomba
Keadaan di lokasi kejadian melibatkan dua buah bot yang bertembung di Sungai Pertang, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu. - Foto ihsan bomba
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pemandu bot dikhuatiri lemas selepas dua bot bertembung di Sungai Pertang, Tasik Kenyir di sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.05 pagi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi terdapat dua buah bot telah berlanggar antara satu sama lain. Tujuh mangsa yang menaiki sebuah bot terselamat.

"Mangsa yang menaiki sebuah lagi bot telah terjatuh dan tenggelam sementara seorang lagi cedera di kepala berjaya dinaikkan ke darat serta dihantar ke hospital," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang hilang ialah Mohd Faisal Derahman, 42, beralamat di Kampung Pasir Dula di sini.

Hanaffi berkata, difahamkan kejadian itu berlaku ketika bot berkenaan dalam perjalanan membawa penumpang untuk ke sebuah hentian di Tasik Kenyir.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa menggunakan sebuah water tender serta dibantu seramai tiga anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Terengganu.

"Buat masa ini pasukan bomba berdepan kesukaran susulan masalah telekomunikasi di lokasi kejadian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!