Singkir pemimpin ambil sumber kekayaan negara, negeri - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, hari ini. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Mana-mana menteri atau pemimpin kerajaan yang didapati mengambil sumber kekayaan negeri atau negara untuk kepentingan peribadi akan disingkirkan daripada jawatan serta-merta, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya memandang serius sebarang isu melibatkan salah guna kuasa dan tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku.

“Kerajaan ini (Perpaduan) tidak mengizinkan mana-mana menteri atau pemimpin kerajaan ambil walau satu inci tanah kerajaan atau satu ekar balak.

“(Ia) dilarang sama sekali dan kalau berlaku, mereka akan disingkirkan daripada jawatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said dan pimpinan tertinggi lain.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan sesekali mengizinkan sebarang amalan mengambil kekayaan daripada negeri atau negara.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam masa sama menempelak ‘kumpulan’ yang didakwa memperjuangkan Islam dan Melayu tetapi tidak bersuara dalam isu pengambilan sumber kekayaan negeri atau negara.

“Saya hendak tanya (kepada) orang yang heboh bercakap soal Melayu dan Islam, beranikah sebut bahawa mereka tidak izinkan pemimpin mengambil balak, kontrak atau saham daripada negara.

“Saya belum dengar lagi (ada pemimpin kumpulan yang perjuangkan Melayu dan Islam suarakan menentang pemimpin ambil sumber kekayaan negeri atau negara),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!