Projek Fleet: Mahasiswa Keadilan minta polis siasat Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Mahasiswa Keadilan Malaysia membuat laporan polis supaya siasatan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pemberian tender projek kerajaan bernilai RM4.6 bilion.
Ini susulan dakwaan Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berhubung penamatan surat hasrat (LOI) yang dianugerah kepada syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza semasa Muhyiddin menerajui kerajaan.
Laporan itu dibuat oleh Naib Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia, K Yuveraaj di Balai Polis Daerah Dang Wangi dekat sini, pada Jumaat.
"Kami menggesa polis untuk memulakan siasatan tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
Sebelum ini, media melaporkan Vincent sebagai berkata, LOI berkaitan kontrak bagi Projek Perbekalan, Pembaikan dan Penyelenggaraan Kenderaan Kerajaan (Projek Fleet) ditamatkan tiga bulan selepas Muhyiddin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.
Vincent mendakwa perkhidmatan usaha sama itu ditamatkan serta diberikan kepada Spanco Sdn Bhd dengan perbelanjaan lebih tinggi berbanding bidaan JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.
Susulan itu pada 17 Julai lepas, syarikat usaha sama Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan kerana menamatkan LOI yang ditawarkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!