Terengganu, Negeri Sembilan sama padu

Pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan (tiga, kiri) melakukan percubaan ke arah gawang Terengganu FC semasa perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan (tiga, kiri) melakukan percubaan ke arah gawang Terengganu FC semasa perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar berkongsi mata setelah terikat 1-1 ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Pada awal permainan anak buah Tomislav Steinbruckner nyaris dikejutkan angkatan K Devan setelah skuad Rusa mendapat sepakan penalti pada minit kelima.

Sepakan penalti selepas bola sepakan Filemon Standly terkena tangan pertahanan tengah skuad Penyu, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni pada minit kelima.

Bagaimanapun sepakan pemain pertahanan import, Herold Goulon berjaya dinafikan kecemerlangan penjaga gol sensasi TFC, Mohd Suhaimi Husin.

Perlawanan selepas itu menyaksikan penguasaan menyeluruh angkatan Steinbruckner yang mendapat beberapa, peluang menjaringkan gol.

Sementara itu, armada Devan pula lebih banyak membudayakan gaya permainan bertahan selain kecemerlangan penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan tanpa jaringan.

Separuh masa kedua, Steinbruckner melakukan perubahan taktikal, namun deretan percubaan masih gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Usaha TFC yang tidak mengenal jemu akhirnya berjaya dijelmakan menerusi sentuhan Ivan Mamut pada minit ke-67.

Biarpun begitu Negeri Sembilan yang kembali menyusun rangkaian serangan pasukan yang akhirnya tenang menyamakan kedudukan hasil tandukan Goulon pada minit ke-84.

Keputusan itu menyaksikan TFC berada di kedudukan keenam Liga Super dengan 26 mata hasil tujuh menang, lima seri dan enam kalah, selepas 18 perlawanan.

Negeri Sembilan pula di kedudukan kesembilan Liga Super dengan 21 mata hasil empat menang, sembilan seri dan lima tewas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!