Selangor tekad kekang momentum JDT

Barisan pemain Selangor sudah bersedia menghadapi JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Barisan pemain Selangor sudah bersedia menghadapi JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
A
A
A

SELANGOR FC meletakkan tekad untuk cuba menghalang Johor Darul Ta'zim (JDT) terus merasai nikmat kemenangan menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Sabtu.

Pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berpijak di bumi nyata dan mengakui bukan tugas mudah untuk membawa pulang tiga mata apabila beraksi di gelanggang keramat Harimau Selatan itu.

Namun, beliau percaya para pemainnya mampu untuk memberikan tentangan dan meraih sekurang-kurangnya keputusan seri berdepan juara sembilan kali Liga Super itu.

“Kalau kita lihat banyak pasukan apabila bertandang ke SSI, memang sukar untuk dapat keputusan positif. Seperti sebelum ini kita bermain secara menyerang (pada separuh akhir Piala FA), tetapi akhirnya dibolosi dengan empat gol.

“Kalau dengan cara bertahan juga sama. Kita dapat lihat banyak pasukan yang hadir ke SSI dengan strategi bertahan, namun JDT memiliki kualiti dan mereka boleh cari cara untuk menjaringkan gol.

“Tetapi, kita kena pergi ke SSI dengan satu tekad dan fokus untuk dapatkan sekurang-kurangya satu mata. Itu yang kita nak cari,” katanya kepada Sukan Sinar.

Lima pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan memihak kepada JDT termasuk ketika pasukan kendalian Esteban Solari itu membelasah anak buah Cheng Hoe 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA bulan lalu.

Malah, JDT setakat ini terus melakar kemenangan dan tidak pernah seri atau kalah sepanjang 17 perlawanan saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, rekod menunjukkan Selangor pernah berjaya mengekang Harimau Selatan di SSI 1-1 ketika perlawanan Liga Super pada Mac 2021 dan turut mencatat keputusan sama di Stadium Petaling Jaya pada September tahun lalu.

Bagi Cheng Hoe, rekod itu mampu diulangi para pemainnya selain percaya motivasi pemain berada pada tahap terbaik untuk mencabar juara Piala FA itu.

“Dari segi latihan semuanya baik dan motivasi pemain juga sangat tinggi. Mereka tahu berdepan JDT mereka kena fokus dan berikan sehabis baik.

“Namun, kehilangan Faisal Halim (yang digantung perlawanan) sedikit sebanyak turut memberikan kesan kepada pasukan terutama di jentera serangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!