Sembelit, gastrik setiap kali berpuasa
Pengambilan air sangat penting bagi mengatasi masalah sistem penghadaman
ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
DOKTOR, saya seringkali mengalami masalah sembelit setiap kali berpuasa pada bulan Ramadan. Buat pengetahuan pihak doktor, saya sudah mencuba minum banyak air semasa bersahur tetapi kurang makan buah atau sayuran. Sebenarnya saya juga seorang yang sibuk dengan tugas sebagai pekerja dan rutin menguruskan rumah tangga. Adakah itu puncanya? Adakah terdapat kaedah mudah menangani masalah ini secara semula jadi atau dengan ubat-ubatan?
- Pekerja Resah, Siti Maisarah Yaakob, 38, Shah Alam, Selangor
JAWAPAN:
MEMANG menjadi perkara biasa kita akan mengalami sembelit semasa berpuasa.
Ini adalah berpunca daripada diet kita yang kurang air dan serat.
Pengambilan air yang cukup sangat penting pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi cuaca di Malaysia yang panas.
Berdasarkan konteks kesihatan, setiap orang disarankan untuk minum air dalam lapan gelas atau dua liter sehari.
Mungkin ramai yang bertanya bagaimana mahu menghabiskan air sebanyak itu?
Sebenarnya, kita mampu. Air juga boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan jenis makanan seperti sup.
Oleh yang demikian, tidak mustahil untuk kita mencapai jumlah tersebut.
Di samping itu, kurangkan minum kopi dan teh kerana ia menyebabkan kita kerap buang air kecil yang sekali gus mengakibatkan badan kita kurang hidrat.
Daripada cerita puan, sekiranya puan tiada masalah lain dan puan sihat, saya merasakan masalah sembelit puan berpunca daripada kekurangan serat daripada buah dan sayuran.
Saya juga sarankan puan untuk mengambil jenis makanan yang tinggi serat seperti roti jagung, oat dan sebagainya sekiranya tidak gemar makan sayur ataupun buah.
Puan juga dinasihatkan untuk menyukat jumlah air yang diminum sehari dan pastikan ia lebih sedikit daripada yang disarankan. Lakukan juga senaman yang seperti berjoging dan brisk walking contohnya selama 15 minit sebelum berbuka.
Perlu diingatkan, pemakanan semasa berpuasa mestilah cukup komposisinya dan masih mengikut piramid makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Elakkan juga pengambilan minuman yang manis dan air berkarbonat.
Sekiranya masalah sembelit puan masih berlarutan walaupun diet telahpun diperbaiki, puan dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
SOALAN 2
DOKTOR, ramai orang memberikan alasan gastrik untuk tidak berpuasa. Sebenarnya saya juga mempunyai masalah tersebut hingga takut untuk berpuasa. Bagaimanapun, saya tetap mahu berusaha menunaikan kewajipan ini. Bolehkah penghidap gastrik tetap berpuasa seperti orang normal lain tanpa mendatangkan kesan sampingan?
- Pesakit Gastrik, Azlan Mohamad, 41, Rembau, Negeri Sembilan
JAWAPAN:
TAHNIAH kerana tuan ada rasa tanggungjawab untuk menunaikan ibadah puasa.
Sebenarnya, ramai yang bertanya soalan itu.
Sebenarnya, penting untuk kita ketahui apakah itu gastrik?
Dalam perubatan, ia dipanggil dyspepsia yang bermaksud apa-apa perkara yang menyebabkan kesakitan pada ulu hati.
Simptom lain yang bersama-sama muncul adalah muntah, loya tekak dan kurang selera makan.
Antara puncanya yang paling teruk ialah luka pada dinding perut yang dipanggil peptic ulcer disease.
Mereka yang ada masalah seperti itu disarankan tidak berpuasa kerana tindakan itu akan menyebabkan asid 'mengikis' dinding perut yang sedia luka dan mengakibatkan pendarahan berlaku. Perlu ditegaskan di sini, hanya melalui ujian endoskopi tahap 'keterukan' diagnosis ini dapat ditentukan.
Doktor akan menyarankan pesakit gastrik untuk menjalani ujian tersebut jika dirasakan perlu.
Gastrik yang ringan sebenarnya tidak mendatangkan kemudaratan apabila berpuasa.
Banyak kajian saintifik menunjukkan pesakit gastrik boleh berpuasa.
Bagaimanapun, pemeriksaan dan nasihat daripada doktor perlu dilakukan kerana punca gastrik terlalu banyak.
Kita tidak mahu gastrik yang kita hidapi adalah disebabkan barah perut atau masalah pundi hempedu yang mana langkah perubatan segera amat perlu bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Bagi kes pihak tuan, sekiranya tahap gastrik adalah rendah dan tidak menghidap sakit lain, bolehlah tuan berpuasa.
Pastikan tuan elakkan makanan yang boleh mencetuskan gastrik seperti makanan pedas, minuman bergas dan berkafein.
Merokok juga boleh mencetuskan simptom. Makan dan minum secukupnya semasa berbuka dengan kadar yang sederhana.
Tuan dinasihatkan tidak berbaring atau terus tidur sejurus menjamah makanan.
Sekiranya gastrik tuan semakin teruk, jumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.
Profil
Dr Mohd Radzniwan A Rashid
Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pemegang Ijazah Sarjana Perubatan Keluarga ini juga ialah Timbalan Pengarah Klinik Pakar Kesihatan USIM. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan fakulti dan Klinik Pakar Kesihatan USIM melalui program jejak asnaf dan program tabaru’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!