'Pengantin ada dalam' - Sanusi

Sanusi (dua dari kanan) dan Ahmad Sulaiman (dua dari kiri) keluar dari Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik.
Sanusi (dua dari kanan) dan Ahmad Sulaiman (dua dari kiri) keluar dari Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik.
A
A
A

SIK - "Pengantin ada dalam," demikian jawapan berseloroh calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri N24, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika tiba di Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada Sabtu.

Sanusi dengan berpakaian lengkap baju Melayu hijau dan bersamping kira-kira jam 9.15 pagi mengemukakan pencalonannya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sebelum disapa, pakaiannya bagaikan seorang pengantin.

Beliau yang sedang melangkah menuju ke pusat penamaan calon secara spontan dengan nada gurau menjawab bahawa pengantinnya ada di dalam.

Kehadiran beliau diiringi kira-kira 2,000 penyokong PN yang tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.50 pagi bersama calon DUN Belantek N23, Ahmad Sulaiman (Pas).

Sanusi (empat dari kanan) dan Ahmad Sulaiman (tiga dari kanan) ketika di Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik.
Sanusi (empat dari kanan) dan Ahmad Sulaiman (tiga dari kanan) ketika di Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik.

Sanusi berhadapan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim sementara Ahmad Sulaiman dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mazli Saipi.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan calon Mohd Nazri Abu Hassan (PKR).

Muhamad Khizri (tiga dari kanan) dan Mazli Saipi (tiga dari kiri) semasa tiba di Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada Sabtu.
Muhamad Khizri (tiga dari kanan) dan Mazli Saipi (tiga dari kiri) semasa tiba di Pusat Penamaan Calon Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada Sabtu.

DUN Jeneri mempunyai lebih 35,079 pengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.

Kerusi Belantek disandang Pas, Datuk Mohd Isa Shafie yang menewaskan penyandang Datuk Mohd Tajudin Abdullah (BN) dan calon Abdul Rashid Abdullah (PH) dengan majoriti 2,574 undi.

Mohd Isa bagaimanapun meninggal dunia pada 14 Jun lalu dipercayai akibat jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Kerusi itu mempunyai 28,006 pengundi dengan lebih 90 peratus pengundi adalah Melayu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!