Sumbangan kempen kepada PN bukan satu kesalahan - Muhyiddin
GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Sumbangan untuk menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) yang disalurkan kepada Perikatan Nasional (PN) bukan satu kesalahan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sumbangan itu tidak perlu dipertikaikan berikutan ia hasil kerja keras penyokong mereka bagi membantu kelancaran kempen gabungan itu.
“Ya, akaun saya semua dibekukan dan ini semua (sumbangan) adalah wang rakyat (penyokong) untuk membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.
“Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma itu) kerana saya tidak mempertikaikan berapa banyak pun (wang) yang mereka (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) belanjakan (untuk kempen mereka), ”katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini, pada Sabtu.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai sumber dana bagi menggerakkan kempen Bersatu dan PN pada PRN kali ini berikutan akaun parti yang telah dibekukan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu turut membidas beberapa pengumuman bantuan tunai yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.
Menurutnya, secara tiba-tiba bantuan tunai kepada rakyat dilakukan dalam masa hanya dua minggu.
"Dia (sebelum ini) tabur janji demi janji ketika orang ramai menunggu, tetapi tiada apa yang diberikan
“Tiba-tiba sekarang kamu ada duit. Tengok, inilah yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan sepanjang masa," ujarnya.
Muhyiddin terdahulu yang mengiringi calon PN bagi DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan DUN Sungai Tua, Hanif Jamaluddin tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira jam 8.40 pagi.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!