'Mahu kembalikan pembangunan di Terengganu' - Ahmad Said

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KEMAMAN - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mahu mengembalikan pembangunan di Terengganu sejajar dengan manifesto ditawarkan parti berkenaan yang menjanjikan masa depan cerah kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi UMNO Terengganu itu berkata, justeru rakyat diminta memberi peluang kepada BN untuk memerintah semula Terengganu bagi memastikan segala manifesto ditawarkan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, sepanjang kempen ini semua pihak perlu berkempen secara bijaksana dan berhemah tanpa memaki hamun calon yang bertanding.

"Kita perlu keluarkan fakta bukan auta dan apa trek rekod kita iaitu pembangunan telah dibuat semasa saya menjadi Menteri Besar Terengganu. Saya boleh tunjukkan bukti-bukti yang nyata bukan sekadar sinikal dan hanya bombastik semata-mata.

"Boleh lihat rekod saya di mana kebanyakan pembangunan dibuat di Terengganu sebagai contoh Jambatan Angkat Kuala Terengganu (drawbridge), Jambatan Bukit Kuang, Tasik Kenyir selain perumahan dan sukan.

"Dulu Pas kata buat drawbridge tak ada perancangan, tak ada kajian namun akhirnya drawbridge itu menjadi ikonik di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sivik Kijal di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad berkata, pemilihan calon untuk bertanding pada PRN Terengganu tersebut merupakan kombinasi antara muda dengan lama.

"Pada masa sama kita perlu calon berpengalaman dan juga muka baharu tapi paling penting adalah calon mempunyai harapan untuk menang sebab nak menjadi lebih baik setelah tewas pada pilihan raya sebelum ini.

"Dengan apa jua alasan sekali pun tapi ini masa terbaik untuk tebus kembali kekalahan kita yang lalu," ujarnya.

Ahmad berpakaian baju Melayu biru sebelum itu berarak bersama lebih 2,000 penyokong untuk ke Pusat Penamaan Calon.

DUN Kijal menyaksikan pertandingan dua penjuru melibatkan Datuk Razali Idris (PN) berdepan penyandang kerusi berkenaan BN, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengumuman pencalonan calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Hanum Isa @ Ghazali di Dewan Sivik Kijal pada kira-kira 10.23 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.

Beliau menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!