Jangan cuba sentuh isu sensitif sepanjang PRN - Polis
KLANG - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyentuh sebarang isu sensitif terutamanya melibatkan 3R (agama, raja dan kaum) sepanjang berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) di kawasan Klang Utara.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pemantauan akan dijalankan melibatkan kawasan-kawasan terlibat dalam PRN kali ini.
"PRN bagi kawasan Klang Utara kali ini melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dun N.42 Meru, N.43 Sementa dan N.44 Selat Klang.
"Penugasan anggota dan pegawai melibatkan anggaran 800 pegawai dan anggota termasuk bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada Sabtu.
Vijaya Rao berkata, semua pihak diminta agar sentiasa menjaga keharmonian sepanjang berlangsungnya PRN kali ini.
"Saya ingatkan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan provokasi atau yang boleh mengganggu gugat keselamatan bakal berdepan tindakan tegas.
"Berkempen lah secara aman dan paling penting jangan cuba menyentuh isu-isu sensitif terutamanya melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum)," katanya.
Sementara itu, mengulas berkaitan proses penamaan calon kali ini, jelas beliau, ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi daripada mana-mana penyokong parti.
"Kira-kira 247 petugas melibatkan pegawai dan anggota polis yang menjaga dari segi keselamatan termasuk lalu lintas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!