PRN: Empat penjuru di DUN Pandan Indah, Cik Ton lawan Izham

Dari kiri, Izham, Sivaneswaran, Fazil dan Lisa yang akan bertanding merebut kerusi DUN Pandan Indah pada PRN Selangor 12 Ogos ini. - Foto Astro AWANI
Dari kiri, Izham, Sivaneswaran, Fazil dan Lisa yang akan bertanding merebut kerusi DUN Pandan Indah pada PRN Selangor 12 Ogos ini. - Foto Astro AWANI
A
A
A

AMPANG - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Izham Hashim daripada Pakatan Harapan (PH) berdepan saingan empat penjuru di kerusi berkenaan dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Fazil Mohamad Dali, juga dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton atau Cik Ton.

Turut memberi tentangan di kerusi berkenaan ialah Lisa Redzuan yang juga Timbalan Ketua Parlimen Muda Bandar Tun Razak mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Dalam masa sama, seorang calon Bebas, Sivaneswaran Ramasundram turut mengesahkan pencalonan di kerusi DUN Pandan Indah.

Sementara itu, kerusi DUN Teratai pula menyaksikan saingan satu lawan satu melibatkan dua muka baharu mewakili PH dan PN.

PH meletakkan Yew Jia Haur, manakala PN, Chew Han Keai.

Pengumuman rasmi calon di kedua-dua DUN berkenaan dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pandan Indah, Julaihah Jamaludin dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Teratai, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Perbandaraan MPAJ Pandan Indah di sini sekitar jam 10.30 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Izham menang dengan majoriti 16,386 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Haniff Koslan dan Datuk Iskandar Abdul Samad (Pas) di DUN Pandan Indah.

Sementara kerusi DUN Teratai pada PRU14 dimenangi calon Parti Warisan (Warisan), Bryan Lai Wai Chong dengan majoriti 29,425 undi menewaskan Mohd Irman Abdul Wahab (Pas) dan Liew Pok Boon (Barisan Nasional).

Beliau mengumumkan keluar parti DAP pada April 2021 untuk menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Warisan pada Januari 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi enam negeri pada 12 Ogos, manakala hari undi awal pada 8 Ogos. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!