Nik Nazmi mahu semua pihak sokong gaji lebih tinggi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk sektor swasta harus menyokong gaji yang lebih tinggi kerana secara logiknya, ia akan membawa kepada perbelanjaan yang meningkat, demikian menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, gaji tinggi juga akan dapat memberi manfaat kepada sektor swasta dan awam, selain meningkatkan kesetiaan pekerja tempatan yang membolehkan majikan menikmati pelaburan dari segi latihan ke atas mereka untuk jangka masa panjang.

"Pada masa sama, tekad gaji minima RM1,500 menjelang 2023 mesti dicapai, malah gaji kehidupan wajar (living wage) yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan kos hidup berdasarkan kedudukan geografi juga perlu diperkenalkan seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Saya juga pernah mencadangkan agar dasar perbekalan kerajaan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang membayar pekerja pada kadar yang setimpal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kepada komen kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa gaji rendah lebih baik daripada tiada langsung gaji.

"Terdapat keperluan mendesak untuk isu itu dibincangkan secara meluas kerana ia adalah hak pekerja untuk dibayar dengan setimpal agar mereka boleh membina kehidupan dan keluarga mereka.

"Kerajaan perlu mengadakan satu wacana nasional berhubung isu pekerjaan dan kadar gaji rendah di kalangan pekerja di negara ini," ujarnya.

Tambah beliau lagi, sudah menjadi tanggungjawab pemimpin kerajaan, korporat dan masyarakat madani untuk memastikan hal itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Badan-badan yang mempunyai reputasi tinggi termasuk BNM dan Institut Penyelidikan Khazanah, semuanya menunjukkan kadar gaji di negara ini terlalu rendah.

"Pendekatan dan kesepakatan yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan harus dicari untuk mencapai keadilan ekonomi dan pembaharuan," katanya.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan rakyat (PKR) berkata, sebelum ini beliau pernah menyatakan menerusi mesej Hari Pekerja bahawa Malaysia mesti memperbaiki kadar gaji para pekerja dan memberi jaminan pekerjaan yang lebih baik.

"Model pertumbuhan lama iaitu gaji rendah dan kos rendah semata-mata tidak lagi relevan dengan realiti ekonomi negara dan global semasa.

"Saya juga berhujah, pekerjaan yang dipanggil 3D (yang menjadi sumber kontroversi antara Dr Mahathir dan MTUC) akan menjadi lebih menarik kepada pekerja Malaysia sekiranya isu gaji boleh ditangani," jelasnya.

Katanya, dengan ini, ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing serta meningkatkan galakan ke arah automasi.

"Saya melihat cadangan untuk menyediakan subsidi elaun dan upah kepada lulusan baru tempatan melalui majikan untuk menggalakkan penggajian boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

"Saya percaya cadangan saya sebelum ini di Parlimen dan media termasuk pengecualian cukai bagi syarikat-syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk pekerja di tingkat bawah serta sokongan daripada sektor awam serta swasta untuk pelbagai inisiatif yang akan meningkatkan kemahiran juga wajar dipertimbangkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MTUC kesal nasib pekerja di negara

Terdahulu, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon melahirkan rasa kesal kerana pekerja di negara ini terus menderita kerana dieksploitasi oleh majikan dan diberikan gaji yang rendah walaupun memberikan sumbangan besar kepada negara.

Katanya, kerajaan perlu diingatkan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan sektor buruh di negara berdasarkan komitmen yang telah mereka berikan kepada negara selama ini.

Beliau berharap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya membuat pembaharuan secara menyeluruh walaupun terdapat beberapa inisiatif telah dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!