Rina Harun yakin PN menang di Batu Tiga dan Selangor

Rina bersama ibunya, Taiyibah ketika di pusat penamaan calon di Shah Alam.
Rina bersama ibunya, Taiyibah ketika di pusat penamaan calon di Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memenangi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan juga Selangor meskipun ia merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Calon PN bagi DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia disebabkan kerana kerajaan pusat dilihat gagal memerintah negara dan tidak mengotakan janji yang diberikan.

“Saya yakin bahawa pengundi akan buat perubahan pada PRN 12 Ogos ini.

“Ia tidak mudah (untuk menang). Kami kena bekerja keras dan insya-ALLAH, kejayaan akan jadi milik PN,” katanya ketika ditemui media selepas penamaan calon di sini pada Sabtu.

DUN Batu Tiga menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen, Danial Al Rashid (PH) dan Rina dari PN.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Batu Tiga setelah berpuas hati menyemak semua borang pencalonan dan tiada calon yang ditolak pencalonannya.

Dalam masa sama, Rina turut memaklumkan bahawa beliau sebenarnya tidak berniat untuk bertanding pada PRN ini kerana ingin membantu calon srikandi lain.

Bagaimanapun, beliau terpaksa akur dengan pucuk pimpinan yang telah membuat keputusan untuk mencalonkannya.

Selain itu, sekiranya memenangi PRN ini, beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membantu membangkitkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

“Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor. Kita lihat ada banyak lagi isu yang kena bantu dalam memperkasakan wanita dan juga penduduk di DUN Baru Tiga.

“Ia termasuk dari segi sosioekonomi di samping meningkatkan efisien dan efektif sistem perkhidmatan kepada rakyat dan juga kemudahan lain,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Rina, Taiyibah Rosli, 72, berkata, dia sentiasa mendoakan kejayaan Rina supaya dapat membantu rakyat.

“Sebagai ibu, semestinya saya ingin melihat kejayaan anak melalui doa. Saya sentiasa mendoakannya untuk mendapat kemenangan.

“Semoga dia berjaya dan dapat membantu selain membangunkan DUN Batu Tiga ke arah yang lebih baik,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!