[VIDEO] PN janji selesaikan isu kenaikan kos sara hidup
GOMBAK - Perikatan Nasional (PN) berjanji akan memberi tumpuan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup termasuk isu lonjakan harga barang dan inflasi dalam manifesto pilihan raya negeri (PRN) koalisi itu di enam negeri.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga akan memberi fokus kepada isu masalah pekerjaan, pendapatan rakyat (yang masih rendah), kesihatan, pendidikan, perumahan, isu perubahan iklim, alam sekitar dan infrastruktur.
"Secara umumnya ia berkaitan usaha untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi supaya peluang-peluang pekerjaan lebih banyak dan tempat kediaman dibina untuk orang yang tiada rumah.
"Ini semua ada terkandung dalam manifesto (PN) yang akan dilancarkan di semua enam negeri dan ia menjadi perkara (isu) pokok bagi semua negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu bagi kerusi DUN Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, apa yang penting adalah kepantasan PN untuk bertindak menangani masalah dan isu yang sedang dihadapi rakyat.
"Yang paling utama adalah bagaimana kita dapat menyegerakan proses pemulihan, baik untuk (sektor) ekonomi besar atau individu berniaga selain untuk pastikan orang yang bekerja dapat bekerja dengan pendapatan yang setimpal supaya mereka dapat menyara keluarga. Jadi ini janji saya sebagai Pengerusi PN," ujarnya.
Bekas Perdana Menteri itu menambah, gandingan calon yang berpengalaman dan orang baharu yang dicalonkan PN pada PRN kali ini juga menjadi tawaran gabungan itu kepada rakyat.
"Sebahagian calon yang kita letakkan ada kelayakan, ada latar belakang profesional dan tokoh korporat," jelasnya.
Muhyiddin terdahulu mengiringi calon PN bagi DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan DUN Sungai Tua, Hanif Jamaluddin dan tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira jam 8.40 pagi bersama lebih 5,000 penyokong serta jentera parti.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!