Enam kali tewas, calon Bebas Izat Bukhary tidak putus asa

Izat Bukhary Ismail Bukhary
Izat Bukhary Ismail Bukhary
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun enam kali tewas dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) dan empat Pilihan Raya Negeri (PRN), namun ia tidak mematahkan semangat calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 56, untuk terus bertanding sebagai wakil rakyat dan bergelar ‘YB’ (Yang Berhormat).

Kali ini di gelanggang PRN Kelantan, calon Bebas yang menggunakan logo pen itu menawarkan diri bertanding di kerusi N09 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.

Beliau bakal berdepan dalam pertandingan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan, Dr Hafidzah Mustakim; Zamry Ismail dari Pas, dan Tan Boon Kian dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

"Apabila orang tanya kenapa tidak serik, saya jawab kepada pengundi, cukup-cukuplah (pilih parti yang sama). Jadi menilai sendiri lah...walaupun di Kelantan kita sudah tahu keputusannya...tetapi setakat ni tanggungjawab saya (bertanding) sudah selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu, di sini pada Sabtu.

Bercerita lanjut, Izat Bukhary berkata, sebelum ini beliau pernah bertanding di DUN Pengkalan Kubor sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2014 dan masing-masing sekali di DUN Chempaka pada (2015) dan DUN Kota Lama pada 2018.

Beliau yang juga anak kelahiran Kota Lama pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kota Bharu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar (2016).

Bapa kepada tujuh anak yang berusia antara 16 hingga 23 tahun itu berkata, sepanjang penglibatannya dalam dunia politik, keluarganya tetap utuh memberikan semangat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Saya berterima kasih kepada keluarga dan penyokong saya dalam perjuangan ini. Saya tidak mahu berjanji macam-macam demi mendapatkan sokongan, sebaliknya saya akan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

"Malah, sekiranya diberikan peluang, saya akan berjuang habis-habisan membawa perubahan dan memberi kebaikan yang ditunggu-tunggu selama ini kepada rakyat terutamanya kepada penduduk di kawasan DUN Kota Lama,” katanya. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!