'Pastikan kemenangan PN di DUN Kijal' - Razali
KEMAMAN - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Razali Idris akan berusaha untuk memastikan kemenangan gabungan itu di kerusi tradisi UMNO sejak sekian lama.
Razali menyifatkan DUN Kijal bukan lagi kubu kuat penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Said susulan sokongan kepada bekas Menteri Besar Terengganu itu semakin berkurangan.
"Mana ada kuat lagi dan tak kuat dah. Dahulu kuat semasa saya masih UMNO tapi sekarang dah tak ada.
"Setiap lima tahun kemenangan Ahmad Said makin lama makin bekurangan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14.
"Saya tak akan kata Kijal satu kubu kuat pada UMNO, kena tafsir semula," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sivik Kijal di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Razali berkata, gelombang anak muda menyokong PN masih kekal khususnya melibatkan pengundi muda berbangsa Melayu dan Islam.
"Mereka mengundi dan menyokong secara penuh kepada PN dan ini jelas sekali nampak di Pantai Timur.
"Ada yang menyatakan akan balik kampung untuk mengundi dan beri peluang (memerintah) pada PN di Terengganu. Tiada apa perkara pelik untuk tukar kerajaan malah cuba untuk menambah lagi kerusi," ulasnya.
Dalam pada itu, Razali juga berhasrat untuk menumpukan peningkatan ekonomi digital kepada anak muda di DUN Kijal.
"Saya akan cuba kembangkan ekonomi digital bagaimana kita nak tingkatkan pendapatan.
"Macam mana nak tingkatkan produktiviti untuk memberi pulangan yang baik kepada mereka terlibat dalam ekonomi digital dan inilah saya nak perkasakan di DUN Kijal," jelas beliau.
DUN Kijal menyaksikan pertandingan dua penjuru melibatkan Razali (PN) berdepan penyandang kerusi berkenaan BN, Ahmad.
Pengumuman pencalonan calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Hanum Isa @ Ghazali di Dewan Sivik Kijal pada kira-kira jam 10.23 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.
Beliau meraih 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh dengan 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Penamaan calon PRN Terengganu
— SinarHarian (@SinarOnline) July 28, 2023
Ini adalah bebenang!#KuasaRakyat#SinarHarianpic.twitter.com/FHK5KSmACd
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!