'Perasaan saya macam final bola sepak' - Baddrol

Baddrol
Baddrol
A
A
A

GURUN - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar mengakui perasaannya semasa menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Dewan Lestari, Guar Chempedak pada pagi Sabtu, seperti menghadapi perlawanan final bola sepak.

Bekas kapten Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC itu bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika memenangi DUN tersebut pada 12 Ogos Ini.

"Kehadiran pagi ini cukup ramai. Perasaan saya seperti biasa dan semuanya kita berserah pada ALLAH SWT.

"Perasaan saya (pagi ini) macam menghadapi final bola sepak di stadium dengan melihat kehadiran penyokong yang ramai," katanya ketika ditemui media di Dewan Lestari, Guar Chempedak dekat sini.

Terdahulu, Baddrol bersama dua lagi calon PN bagi DUN Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samad dan calon DUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad diiringi lebih 1,000 penyokong menuju ke Dewan tersebut pada jam 8.40 pagi.

Ikon bola sepak itu sah berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang merupakan anak kepada penyandang DUN Gurun sebelum ini, Tan Sri Johari Abdul.

Baddrol (tiga dari kanan) bersama dua lagi calon PN iaitu Mohd Azam dan Abdul Ghafar diiringi Penyokong menuju Dewan Lestari, Guar Chempedak pada pagi Sabtu.
Baddrol (tiga dari kanan) bersama dua lagi calon PN iaitu Mohd Azam dan Abdul Ghafar diiringi Penyokong menuju Dewan Lestari, Guar Chempedak pada pagi Sabtu.

Mengulas pertembungan tersebut, Baddrol yang merupakan pendatang baharu dalam dunia politik menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik.

"Pengundi mempunyai hak. Saya akan membuat yang terbaik jika dipilih oleh rakyat Gurun. Saya akan memberikan yang terbaik seperti mana saya bermain bola sepak macam itulah akan berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Beliau yang menjadikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai sumber inspirasi turut menjelaskan mempunyai manifesto sendiri pada PRN tersebut.

"Strategi kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kepercayaan penduduk yang mereka sendiri mempunyai hak masing-masing untuk memilih pemimpin mereka.

"Saya mempunyai manifesto sendiri dan dapat direalisasikan sekiranya kemenangan berpihak kepada saya. Kena undi dahulu saya baru boleh beritahu. Memang Kedah ini akan berlaku kejutan," katanya.

Berdasarkan rekod dalam sukan bola sepak, Baddrol telah merasai semua kejuaraan yang ada di Malaysia iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super, Liga Premier dan juga trofi kejuaraan antara tertua di Asia, Piala Malaysia bersama Kedah.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!