Ahmad Razif janji teruskan semula projek 'Sea Felda'

Ahmad Razif
Ahmad Razif
A
A
A

SEBERANG TAKIR - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berjanji akan meneruskan kembali Projek Akuapolitan Kuala Nerus atau 'Sea Felda' sekiranya berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan menawan kembali Terengganu daripada Pas pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Jelas Ahmad Razif yang juga penyandang kerusi DUN Seberang Takir, beliau kesal apabila projek yang memberi manfaat kepada rakyat itu tidak diteruskan oleh kerajaan negeri yang diperintah Terengganu ketika ini.

"Saya akan realisasikan (kembali) rancangan untuk melaksanakan projek perintis dikenali sebagai Sea Felda yang mirip dengan skim Felda tetapi disesuaikan dengan masyarakat nelayan.

"Projek tersebut telah pun diluluskan dengan peruntukan RM180 juta tetapi malangnya kerajaan negeri (ketika ini) tidak mengambil peduli.

"Jadi, saya mintak rakyat Seberang Takir beri peluang kepada saya dan saya pastikan segala perancangan termasuk meneruskan projek Sea Felda sekiranya saya menang di DUN Seberang Takir dan BN dapat ambil balik pentadbiran Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sivik Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar lengkap berpakaian baju Melayu sebelum itu berarak diiringi lebih 1,000 penyokong ke pusat penamaan calon tersebut.

PRN bagi DUN Seberang Takir kali ini menyaksikan persaingan dua penjuru antara Ahmad Razif dan Khazan Che Mat.

Khazan sebelum ini pernah menjadi ADUN Batu Rakit ketika mewakili UMNO, namun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau membuat keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!