Habuan tinggi dorong penjawat awam gred 54 ambil rasuah
SHAH ALAM - Habuan tinggi yang ditawarkan kepada penjawat awam gred 54 didakwa mendorong segelintir golongan itu melakukan salah laku seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pemerasan.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, biasanya jumlah tawaran rasuah yang diberikan kepada mereka lebih tinggi berbanding pegawai bawahan sekali gus memberi godaan besar untuk melakukan jenayah itu.
Katanya, ia akan menjadi lebih kronik apabila perkara tersebut tiada pemantauan daripada pihak berwajib.
"Memang tidak mudah untuk membanteras rasuah dalam sekelip mata apatah lagi membabitkan kes berprofil tinggi. Oleh itu, sudah tiba masanya satu formula dicari sehingga yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.
"Jika tidak diatasi dengan segera, ia pasti akan membawa padah kepada ekonomi negara," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan penglibatan penjawat awam gred 54 dalam gejala rasuah kini bukan sahaja membimbangkan malah memperlihatkan satu penanda aras tidak sihat berbanding 10 tahun lalu.
Katanya, kes berprofil tinggi yang menunjukkan peningkatan sejak 2018 itu seolah-olah menjadi perkara biasa.
Azam berkata, biasanya ia melibatkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain.
Tambah Hamdan, rasuah dalam kalangan pegawai atasan umpama 'harapkan pagar, pagar makan padi', kesannya mengakibatkan harta kerajaan dirompak tanpa disedari.
"Kita telah memilih pegawai yang diberikan mandat dan amanah dalam urusan takbir jabatan kerajaan tetapi dikhianati begitu sahaja. Maka di mana lagi kita harus bergantung harap jika rasuah terus beraja di hati.
"Cadangan saya amat jelas iaitu hukuman yang amat berat perlu dikenakan dan dalam masa sama pemantauan daripada pihak berwajib haruslah dimaksimakan agar Malaysia bebas rasuah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!