Khalib Mehtab yakin mampu pertahan kerusi Bertam

Khalib Mehtab bersalaman dengan Reezal Merican (kanan) selepas nama mereka diumumkan bertanding bagi merebut kerusi DUN Bertam pada PRN Pulau Pinang kali ini.
Khalib Mehtab bersalaman dengan Reezal Merican (kanan) selepas nama mereka diumumkan bertanding bagi merebut kerusi DUN Bertam pada PRN Pulau Pinang kali ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khalib Mehtab Mohd Ishaq yakin gelombang rakyat yang berlaku ketika ini akan memihak kepada Perikatan Nasional (PN) sekali gus membolehkan beliau mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan.

Menurutnya, beliau melakukan persediaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan sejak sekian lama malah yakin rakyat dan pengundi di kawasan itu dapat melakukan penilaian tepat pada 12 Ogos nanti.

"Kalau nak ikut persediaanmempertahankan kerusi ini bermula saya menang pada 2018. Dengan kerja-kerja yang dilaksanakan di sini saya serah kepada rakyat untuk buat penilaian sebaik mungkin.

"Kerja saya bukan sahaja bermula hari ini semasa dalam kempen tetapi sepanjang masa bermula menjadi ADUN sampai lah, saya dibuang pada 6 Mac lepas.

"Dari segi persediaan memang kita dah bersedia dan kita akan menghadapi pilihan raya ini dengan sebaik mungkin dengan semangat yang kuat," katanya ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Millenium, di sini pada Sabtu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Khalib Mehtab akan bertembung satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ditanya mengenai pesaingnya pada pilihan raya kali ini, Khalib Mehtab mengakui lawannya kali bukan calang-calang selain merupakan figura besar dalam arena politik negara.

"Lawan saya seorang mantan menteri dan mantan ahli Parlimen tetapi saya ambil ini sebagai satu cabaran.

"Cabaran ini untuk PN berjuang dengan lebih kuat dan semangat tinggi untuk memastikan bukan sahaja kita menang di Bertam tetapi juga Pinang Tunggal dan Penaga," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persaingan satu lawan satu pula, Khalib Mehtab berkata, ia akan menjadi persaingan yang lebih sihat apabila tiada pihak lain yang datang memecahkan undi.

Malah katanya, sesiapa yang menang sudah pasti membuktikan individu berkenaan mendapat mandat untuk menjadi pemimpin bagi membawa suara rakyat dikawasan berkenaan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!