Lebih 5,000 mualaf didaftar di PPP Selangor

Program Turun Padang Perkampungan Orang Asli (KOA) Kepau Laut, Pulau Carey pada Sabtu.
Program Turun Padang Perkampungan Orang Asli (KOA) Kepau Laut, Pulau Carey pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 5,220 mualaf telah membuat pendaftaran pengislaman di Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak 2020.

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail berkata, daripada jumlah itu seramai 1,429 mualaf didaftar pada 2020, diikuti 1,327 mualaf pada 2021, seramai 1,715 orang pada 2022 dan 749 individu setakat Jun lalu.

Menurutnya, MAIS menyediakan sebanyak 39 PPP bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.

"Jumlahnya meningkat berbanding 36 pusat sebelum ini yang bertujuan memudahkan proses pendaftaran pengislaman dilaksanakan.

"Selain itu, masyarakat amat digalakkan menjadi pemudah cara dengan membantu mereka ke PPP yang berhampiran berserta dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada individu bukan Islam yang berhasrat memeluk agama Islam dengan kerelaan diri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Selain itu katanya, PPP turut berperanan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada saudara baharu.

Dalam pada itu beliau berkata, MAIS telah menganjurkan Program Turun Padang Perkampungan Orang Asli (KOA) Kepau Laut, Pulau Carey bersempena Kempen Bulan Muallaf MAIS 2023.

Kempen tersebut bermula 1 Julai lalu sehingga 31 Julai ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di Selangor berkaitan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan oleh MAIS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!