Serangan tumpul kecewakan Steinbruckner

Terengganu gagal pertahankan kelebihan jaringan walaupun Mamut meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-66. - Foto FB Terengganu FC
Terengganu gagal pertahankan kelebihan jaringan walaupun Mamut meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-66. - Foto FB Terengganu FC
A
A
A

KEGAGALAN menyudahkan peluang terhidang nyata mengecewakan pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner selepas pasukan itu hanya seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Menurut Steinbruckner, pasukan pantai timur itu sepatunya tidak keciciran mata sekiranya jentera serangan lebih tajam dalam perlawanan itu.

“Pada babak pertama bukan sahaja insiden penalti diberikan kepada pasukan lawan, namun pemain kurang mencipta peluang untuk memburu jaringan, hanya dua tiga peluang sahaja diperoleh.

“Manakala babak kedua pula saya lihat pemain beraksi lebih baik untuk memburu jaringan sehingga berjaya menjaringkan gol menerusi Ivan Mamut.

“Selepas itu lebih banyak peluang dicipta pemain termasuk sekali lagi menerusi Mamut yang hanya berdepan dengan penjaga gol, namun gagal disudahkan dengan jaringan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Ivan Mamut berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-66, namun gol lewat permainan daripada Herold Goulon memaksa Terengganu berpuas hati dengan satu mata.

Dalam pada itu, Steinbruckner turut menyalahkan barisan pertahanannya yang melepas gol minit akhir Goulon yang disifatkannya sebagai tidak seharusnya berlaku.

“Kurang fokus pada minit terakhir perlawanan jelas memberi kesan buat pasukan sehingga lawan berjaya menjaringkan gol penyamaan sekali gus impian untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!