Saingan satu lawan satu dominasi PRN Kedah
ALOR SETAR - Saingan satu lawan satu antara calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan calon Perikatan Nasional (PN) mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, sebaik proses penamaan calon tamat pada 10 pagi Sabtu.
Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 28 kerusi menyaksikan pertembungan satu lawan satu sementara enam kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru.
Kerusi DUN Lunas membabitkan pertembungan lima penjuru melibatkan calon PH, Shamsul Anuar Abdullah dengan Khairul Anuar Ramli (PN) dan tiga calon Bebas - N.Rajendaran, S.S. Pannir Selvam dan S. Arichindarem.
DUN Ayer Hangat pula melibatkan pertembungan empat penjuru antara calon PN, Shamsilah Siru, Hisham Suhaily Othman (BN) dan dua Bebas - Safwan Hanif Shafie dan Zulfadli Mohd Yusoff.
Secara keseluruhannya, 83 calon terdiri daripada 73 yang mewakili parti politik (BN, PH, PN dan Parti Rakyat Malaysia) dan 10 calon Bebas bertanding dalam PRN, 12 Ogos ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam saingan satu lawan satu menentang calon BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Sementara itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga bekas Menteri Besar Kedah dari 2005 hingga 2008 berdepan saingan calon PN, Mohd Radzi Md Amin di kerusi DUN Pedu.
Mahdzir menyifatkan dirinya sebagai calon underdog apabila berdepan penyandang kerusi berkenaan walaupun pernah mewakili DUN Pedu selama dua penggal sebelum ini.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula akan menghadapi saingan calon PN, Mohd Radhi Mat Din di kerusi DUN Alor Mengkudu, manakala Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang juga penyandang kerusi Pengkalan Kundor ditentang Mardhiyyah Johari daripada PN.
Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat sebanyak 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah ini dengan 104,284 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!